Malaysia sasar kerjasama serantau kawal selia peraturan multimedia

Fahmi bersama timbalannya, Teo Nie Ching (lapan dari kiri); Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (tujuh dari kiri);

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat bekerjasama dengan negara ASEAN yang lain dalam usaha mengawal selia lebih baik isu keselamatan dalam talian, sekali gus bekerjasama rapat sebagai blok serantau.

Dengan adanya rangka kerja yang baik, usaha itu dijangka memudahkan penyelarasan dan kerjasama dalam kalangan negara ASEAN menangani cabaran secara bersama, selain membina konsensus serantau mengenai komitmen ASEAN untuk menjaga persekitaran digital.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata dengan aspirasi itu, beliau berharap usaha kolektif itu berjalan baik ke arah memupuk ASEAN yang lebih bersepadu dan berdaya tahan.

“Dengan bekerjasama berkesan dan menerima amalan kawal selia inovatif, kita boleh memastikan masa depan lebih cerah dan terjamin untuk negara,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024, di sini, semalam.

Lebih 800 peserta terdiri daripada perwakilan dan penceramah dari anggota ASEAN, Korea Selatan, Australia dan United Kingdom hadir pada persidangan dua hari itu.

IRC 2024 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) julung kali diadakan dengan tema ‘Menyelaraskan Inovasi dengan Keselamatan untuk Masa Depan Mampan’.

Fahmi berkata, selaras dengan usaha Malaysia untuk memacu inovasi dan memanfaatkan kepakaran teknologi, MCMC telah mewujudkan pelbagai kumpulan pakar termasuk pengawal selia, penggubal dasar dan perwakilan ASEAN untuk bertukar perspektif.

“Kerajaan Malaysia giat merangka undang-undang bagi menangani keselamatan dalam talian termasuk penipuan dalam talian, kesalahan berkaitan seksual dan ucapan kebencian.

“Baru-baru ini kerajaan juga meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 untuk mengukuhkan rangka kerja keselamatan siber.

“Selain itu, kerajaan sedang memuktamadkan rangka kerja untuk mengawal selia platform dalam talian untuk melindungi pengguna muda yang berusia di bawah 13 tahun daripada potensi bahaya pendedahan awal media sosial.

“Justeru, input daripada pengawal selia dan pakar amat penting untuk memastikan sektor telekomunikasi terus berkembang maju dan membentuk masa depan di mana ekosistem digital kekal sebagai penggerak untuk ketersambungan dan inovasi,” katanya.

Menurut Fahmi, sejak 2018 Malaysia mengambil langkah penting untuk meningkatkan rangka kerja kawal selia melalui penyertaan aktif dalam perjanjian perdagangan utama.

“Malaysia juga sudah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik, dikenali sebagai CPTPP,” katanya.

Selain itu katanya, Malaysia terbabit secara aktif dalam inisiatif serantau yang menyokong amalan pengawalseliaan baik seperti Projek Kerjasama Kawal Selia ASEAN (ARCP).

Dari kiri, Ayob Khan, Nie Ching, Fahmi, Mohamad Fauzi dan Mohamad Salim merasmikan IRC 2024 di Kuala Lumpur, semalam
Dari kiri, Ayob Khan, Nie Ching, Fahmi, Mohamad Fauzi dan Mohamad Salim merasmikan IRC 2024 di Kuala Lumpur, semalam

Tingkat pemahaman

Katanya, projek itu berperanan penting dalam mewujudkan persekitaran kawal selia yang bukan sahaja memudahkan perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka, tetapi juga melindungi kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan keselamatan manusia.

“Kedudukan unik Malaysia sebagai negara yang kaya budaya dan inklusif dengan populasi mewakili pelbagai etnik dan latar belakang mampu meningkatkan pemahaman kita mengenai pelbagai keperluan keselamatan dalam talian.

“Tenaga kerja mahir Malaysia yang berbilang bahasa juga dapat mengukuhkan lagi keupayaan komunikasi kita dan kecekapan operasi menjadikan Malaysia hab yang menarik untuk perniagaan asing,” katanya.

Fahmi berkata, Malaysia juga sedang giat merangka undang-undang untuk menangani keselamatan dalam talian termasuk penipuan dan penipuan dalam talian, kesalahan berkaitan seksual dan ucapan kebencian.

Katanya, ia dengan memanfaatkan kepintaran buatan (AI) untuk meningkatkan keselamatan dalam talian melalui pembangunan Portal AI.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi komprehensif Malaysia untuk menangani cabaran era digital dan talian yang selamat untuk semua,” katanya.

Beliau berkata, menjelang 2024 negara menjangkakan gelombang perubahan kawal selia ketara yang direka bentuk untuk mencerminkan anjakan teknologi dan masyarakat.

“Oleh itu, kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini yang akan menjadi usaha penting bagi pemain industri untuk mengekalkan etika dan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Pada peringkat global pula katanya, kerajaan dan pengawal selia bersedia untuk membentuk semula ekosistem komunikasi dan multimedia.

Katanya, pelarasan kawal selia yang akan datang dijangka mempengaruhi dinamik persaingan yang mendalam, meningkatkan perlindungan pengguna dan menetapkan piawaian baharu untuk amalan perniagaan pada era digital.

“Perubahan ini penting untuk memupuk persekitaran komunikasi dan multimedia yang teguh dan adil,” katanya.

Beliau berkata, IRC 2024 yang diadakan turut mempamerkan barisan pemain telekomunikasi dan industri mengagumkan yang bekerjasama untuk menangani cabaran pengawalseliaan dan menggalakkan inovasi dalam ketersambungan dan perkhidmatan digital.

Katanya, beberapa isu penting untuk masa hadapan turut dibincangkan pada persidangan itu antaranya Tema 1: Keharmonian Amanah: Melindungi Keselamatan Dalam Talian dan Privasi Pengguna serta Tema 2: Memperkasakan Pasaran Dalam Talian di ASEAN: Mengemudi Era Baharu E-Dagang.

“Perbincangan ini menyerlahkan kebimbangan utama bagi pengawal selia dalam merapatkan jurang digital dan kepentingan.

“Ia penting untuk memastikan akses sejagat kepada perkhidmatan telekomunikasi mampu milik dan boleh dipercayai, dengan fokus utama untuk memperluaskan ketersambungan kepada masyarakat terutama luar bandar yang kurang mendapat akses bagi memupuk rangkuman digital lebih besar,” katanya.

Source :