Bentuk segera jawatankuasa khas siasat rasuah RM227 bilion

PENDEDAHAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang negara kehilangan sejumlah RM277 bilion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun lalu sangat menyedihkan.

Ia menunjukkan gejala dan amalan rasuah masih begitu menebal serta kuat melekat dalam setiap aspek urus tadbir negara ini, sama ada dalam sektor awam dan swasta.

Namun, persoalan yang harus dibincangkan punca ketirisan dan rasuah itu berlaku dalam tempoh berkenaan kerana membabitkan jumlah begitu besar bagi tempoh lima tahun iaitu antara 2018 hingga 2023.

Sepanjang tempoh itu juga, kerajaan bertukar sebanyak empat kali, iaitu bermulanya Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang pada Februari 2020 menerusi ‘Langkah Sheraton’ dan selepas itu, negara ditadbir Perikatan Nasional (PN) dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Kerajaan PN pula ketika itu tersepit dengan penularan pandemik COVID-19 sehingga terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. Selepas Muhyiddin dijatuhkan, negara dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula 21 Ogos 2021. PKP kemudian ditamatkan pada 31 Disember 2021.

Kerajaan kemudian bertukar lagi selepas PRU15 pada 19 November 2022, menyaksikan munculnya Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermakna, sepanjang tempoh lima tahun itu, terdapat banyak ‘lapisan’ dan ‘tingkatan’ rasuah berlaku dalam tempoh lima tahun itu jika bersandarkan kepada pendedahan terbaharu Azam, semalam.

Justeru, bagi mencari titik punca dan menyiasat setiap lapisan rasuah itu, sudah tentu menuntut kepada satu penyiasatan menyeluruh serta bersepadu SPRM bagi membongkar apa yang berlaku dalam setiap kerajaan ketika itu.

Setiap pemimpin, kementerian, agensi serta jabatan yang terkait dengan rasuah itu perlu dipanggil untuk siasatan, diambil keterangan dan direkodkan untuk pembuktian jika pendakwaan hendak dilakukan.

Satu jawatankuasa khas atau Suruhanjaya Diraja (RCI) dianggotai tokoh berwibawa serta berpengalaman wajar ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan RM277 bilion rasuah ini.

Ia mungkin bukan satu tugas mudah atau proses singkat, namun jika tiada siasatan lanjut dilakukan, sudah tentu kewibawaan kerajaan akan dipertikaikan dan peranan SPRM serta agensi penguatkuasaan lain akan dipersoalkan.

Apa yang penting, belum terlambat bagi kerajaan dan SPRM untuk menjalankan siasatan, bedah siasat dan seterusnya menasihatkan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap pihak terkait dengan soal ketirisan sejumlah wang besar negara ini.

Siasatan juga perlu bebas daripada pengaruh politik atau elemen membalas dendam, sebaliknya perlu berteraskan prinsip Malaysia MADANI dan semangat melaksanakan reformasi institusi.