Selangor FC harus percaya jaminan polis – JDT

JOHOR BAHRU: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kecewa dengan keputusan Selangor FC tidak hadir bagi perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super musim 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Menerusi kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards di laman rasmi JOHOR Southern Tigers, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar menegaskan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong menjadi keutamaan.

“Polis mengesahkan akan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota ditugaskan dan tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan semua termasuk pemain pada perlawanan Piala Sumbangsih 2024, Jumaat ini.

“Kami mengutuk keras insiden membabitkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap pasukan itu dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan itu nanti.

“Ini kerana ia boleh menetapkan ‘duluan’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan polis,” katanya.

Semalam pengurusan Selangor FC membuat keputusan mengejut menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadual malam esok.

Selangor FC dalam kenyataan rasmi menyatakan mereka membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira keselamatan pemain dan pegawai yang menjadi keutamaan pasukan itu walaupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mahu meneruskan perlawanan itu.

Edwards menegaskan JDT pernah diserang dalam keadaan tegang ketika di Pahang, Perak dan Kelantan pada awal transformasi pasukan itu namun tetap hadir ke gelanggang lawan dan turun beraksi dalam perlawanan yang dikawal ketat polis.

“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka sentiasa dikawal oleh polis untuk menuju masuk ke dalam stadium dan mengawal mereka sejurus perlawanan tamat hingga ke bas pada perlawanan sebelum ini,” kata Edwards.