Ibu bapa berperanan penting dalam tumbesaran kanak-kanak

Dr Dzulkefly berkata dalam usaha memastikan kempen pendidikan kesihatan mencapai matlamatnya, KKM sentiasa berinovasi dan berkreativiti dalam mempersembahkan produk yang mampu menarik minat kanak-kanak. – Gambar fail/BERNAMA

SUNGAI PETANI: Penglibatan ibu bapa khususnya dalam memberikan kasih sayang dan sokongan psikologi, memainkan peranan penting terhadap tahap tumbesaran kanak-kanak kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pelbagai masalah mungkin timbul, sekiranya kanak-kanak tidak mendapat perhatian yang cukup daripada ibu bapa.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh melancarkan pelbagai kempen, namun yang paling utama ialah penglibatan ibu bapa, mereka mesti mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan keluarga khususnya anak-anak.

Dr Dzulkefly berkata dalam usaha memastikan kempen pendidikan kesihatan mencapai matlamatnya, KKM sentiasa berinovasi dan berkreativiti dalam mempersembahkan produk yang mampu menarik minat kanak-kanak.

“Kami sedar sangat mustahak meningkatkan program pendidikan kesihatan dengan menggunakan media-media baharu, antaranya melalui ikon animasi yang sudah ada di negara ini.

“Kita ada pelbagai jenis animasi lain seperti Upin Ipin, Ejen Ali dan Boboiboy, yang mendapat sambutan di negara luar…kami akan memanfaatkan media-media ini menerusi pendekatan animasi untuk mewujudkan kandungan yang menarik perhatian kumpulan sasaran,” katanya.

Program terbabit yang mula dilaksanakan bermula November tahun lepas sehingga 2025, akan membabitkan 17 lokasi di seluruh negara.

Source :
BERNAMA