Pelantikan semula Azam Baki bukti kecemerlangan, dapat kepercayaan Agong – MCW

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bukti beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai individu nombor satu suruhanjaya tersebut.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, atas kecemerlangan itu juga, Azam mendapat kepercayaan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk meneruskan perkhidmatannya.

“MCW berpandangan Azam memiliki pengalaman luas dan memenuhi kriteria yang ditetapkan khususnya dalam memastikan kesinambungan siasatan dan pertuduhan kes-kes berprofil tinggi yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai Ahad ini (12 Mei).

Pelantikan semula itu selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

Ini adalah kali kedua Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mana sebelum ini tempoh perkhidmatan beliau dilanjutkan selama setahun pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Jais berkata, perkhidmatan Azam amat diperlukan bagi melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif pencegahan menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang dilancarkan pada Selasa lalu.

Usaha itu terutama mengenai penambahbaikan pengurusan tatakelola nasional yang akan dapat membantu meningkatkan daya saing negara sekali gus mengurangkan risiko berlaku gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Salam perjuangan dan sokongan jitu yang tidak berbelah bahagi daripada seluruh warga Malaysia yang cintakan integriti dan mahukan Malaysia dibersihkan dari najis rasuah,” katanya sambil menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan semula Azam.

Source :