PRK KKB: PN seolah sedar awal mereka akan tewas di KKB – Amirudin

Amirudin (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Command Centre Perpaduan Bangunan UMNO Hulu Selangor pada Sabtu. – Gambar Sinar Harian

HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) seolah-olah sudah mengaku kalah apabila membangkitkan soal petisyen tiga hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu.

Begitupun begitu, Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terpulang kepada PN sekiranya masih mahu memfailkan petisyen selepas selesai pilihan raya.

Menurutnya, Akta Perjalanan Pilihan Raya menetapkan petisyen merupakan salah satu daripada kaedah untuk menyemak keputusan pilihan raya dan terpulang kepada mana-mana pihak untuk memfailkannya.

“Kita yakin kita telah menjalankan kempen yang berkesan, kempen yang bersasar, kempen yang berhemah.

“Kempen yang tidak perlu mencaci maki atau menabur fitnah sepanjang pilihan raya ini sebagaimana yang ditunjukkan dalam kempen-kempen Perikatan Nasional termasuk menimbulkan kekeliruan dalam banyak perkara.

“Jadi itu hak masing-masing,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Hulu Selangor pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo, Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din dan Pang Sock Tao.

Tambahnya, apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan isu tersebut tiga hari lepas, ia adalah petanda bahawa mereka sedar akan tewas dalam PRK tersebut.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kemenangan Sock Tao daripada PH merupakan bukti kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar Selangor itu berkata, kemenangan itu juga menyaksikan peningkatan peratusan undi sebanyak 57 peratus berbanding 54 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun lepas.

“Beberapa pencapaian lain yang sangat membanggakan, kita telah berjaya merampas beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan undi awal dan undi pos yang sebelum ini dimenangi pihak lawan.

“… PH juga berjaya merampas tiga peti undi yang kita tewas sebelum ini di Kerling, Sungai Air Jernih dan Pertak iaitu dua daripadanya merupakan kawasan majoriti Melayu.

“Ini merupakan satu signal dan kalau mereka anggap pungutan suara inilah endorsement kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor dan Putrajaya,” ujarnya.

Tambahnya, PN pula merekodkan penyusutan majoriti kepada 1,300 undi sekali gus menunjukkan mood masyarakat yang semakin mesra terhadap Kerajaan Perpaduan.

Source :