Polis Indonesia serbu villa dijadikan makmal proses dadah di Bali

JAKARTA: Polis Indonesia telah menyerbu sebuah makmal memproses dadah haram di sebuah vila di pulau peranginan popular Bali dan menahan tiga warga asing serta seorang warga tempatan, lapor Xinhua.

Dalam sidang media pada Isnin, Ketua Agensi Penyiasatan Jenayah Polis Indonesia, Wahyu Widada berkata tiga warga asing itu terlibat dalam mengawal makmal rahsia berkenaan di daerah Badung.

Menurut beliau, polis masih mengesan dua lagi suspek warga asing susulan serbuan pada awal bulan ini.

Polis telah merampas bukti daripada kesemua suspek, termasuk lebih 15 kg ganja dan lebih 600 gram dadah jenis mephedrone (MD).

Suspek didakwa atas kesalahan dadah dan berdepan hukuman maksimum iaitu hukuman mati serta denda 10 bilion rupiah (kira-kira US$620,000).

Source :
BERNAMA-XINHUA