Negara pesat membangun Asia Tengah berpotensi jadi rakan kerjasama strategik Malaysia – PM

SAMARKAND: Negara sedang pesat membangun di Asia Tengah berpotensi menjadi rakan kerjasama strategik yang baik kepada Malaysia bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing melalui kolaborasi dalam pelbagai bidang baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan ke tiga negara Asia Tengah membabitkan Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan dari 14 hingga 19 Mei, berkata jaringan dengan negara-negara sedang pesat membangun itu amat penting dalam keadaan dunia tidak menentu kini.

“Kalau dilihat dari segi pelaburan, negara seperti China, Jerman dan Amerika Syarikat itu pelaburan besar, tentunya akan memberi manfaat dari segi peluang pekerjaan serta pusat kecemerlangan latihan.

“Tetapi kekuatan negara ekonomi sedang pesat membangun ini, terutama Uzbekistan, adalah jaringan dengan syarikat peringkat pertengahan yang akan membabitkan secara langsung pengusaha dan pada peringkat pertengahan (di Malaysia),” katanya kepada media Malaysia pada hari akhir lawatan beliau ke Uzbekistan, di sini, hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, hubungan antarabangsa serta kerjasama dengan negara sedang pesat membangun seperti Uzbekistan juga sudah tentu akan banyak membantu Malaysia kerana mempunyai pendekatan dan strategi sama.

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir bagi lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Sebelum itu, Perdana Menteri melawat Kyrgyzstan dan Kazakhstan.

Anwar tiba di Tashkent pada Jumaat lalu untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari di Uzbekistan. – BERNAMA