Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands dibuka semula hari ini

HULU SELANGOR: Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember 2022, akan dibuka semula, hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor memaklumkan, laluan itu akan dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada jam 3 petang.

Pada Disember 2022, Kementerian Kerja Raya memaklumkan, Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka ditutup selama setahun bagi membolehkan pelaksanaan kerja membaiki cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh berkenaan.

April lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata projek pembaikan yang membabitkan kos kira-kira RM19 juta itu sudah mencapai 86 peratus dengan kerja-kerja yang bakal disiapkan termasuk rel adang dan binaan dinding.