226 pelajar cemerlang SPM 2023 Parlimen Sungai Buloh terima insentif

Ahli Parlimen Sungai Buloh merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan (tiga kiri) dan Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang (dua kiri) pada majlis penyampan insentif kepada 226 pelajar cemerlang SPM 2023 Parlimen Sungai Buloh di Sungai Buloh. – Foto ihsan YBR

KUALA LUMPUR: Seramai 226 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dalam Parlimen Sungai Buloh, Selangor mendapat insentif berjumlah RM100,250.00.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan berkata insentif itu disalurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata agihan insentif itu bertujuan membantu memotivasikan pelajar terbabit untuk lebih berjaya di masa depan.

“Saya sangat menghargai sokongan padu dan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh YBR dalam meningkatkan tahap pendidikan pelajar-pelajar terutamanya di Parlimen Sungai Buloh.

“Saya amat berharap usaha murni sebegini akan dapat diteruskan lagi di seluruh negara dan sekali gus membantu meningkatkan mutu pendidikan negara ke arah peringkat seterusnya.

“Saya juga akan pastikan program ini dapat dilaksanakan setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Datuk R Ramanan (tiga kanan) menyampaikan insentif kepada seorang pelajar cemerlang Parlimen Sungai Buloh. - Foto ihsan YBR
Datuk R Ramanan (tiga kanan) menyampaikan insentif kepada seorang pelajar cemerlang Parlimen Sungai Buloh. – Foto ihsan YBR

Pelajar cemerlang yang menerima insentif berkenaan adalah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buloh, SMK Bukit Gading, SMK Bukit Rahman Putera, SMK Saujana Utama, SMK Subang, SMK Subang Bestari dan SMK Seksyen 10 Kota Damansara.

Hadir sama Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang.

Sementara itu, Lasimbang berkata insentif yang diberikan kepada pelajar mendapat keputusan cemerlang itu diharapkan sebagai pemangkin untuk mereka terus berjaya dalam pendidikan.

Dalam masa sama, beliau berharap ia juga akan menguatkan semangat mereka untuk terus mengekalkan momentum mencapai keputusan cemerlang dan sekali gus meningkatkan modal insan negara.

“Inisiatif berkenaan adalah bukti YBR bukan sahaja menghulurkan bantuan semata-mata, malah turut memberi pengiktirafan terhadap kejayaan dicapai pelajar,” katanya.

Datuk R Ramanan (dua kanan) bersama seorang pelajar cemerlang dan ibu bapa mereka di majlis penyampaian insentif Parlimen Sungai Buloh. - Foto ihsan YBR

Datuk R Ramanan (dua kanan) bersama seorang pelajar cemerlang dan ibu bapa mereka di majlis penyampaian insentif Parlimen Sungai Buloh. – Foto ihsan YBR

Source :