“Abang, ….betulkah ini adik?”

Ibu kepada Allahyarham Mohd Rais Sarkhanuddin Zainordin, Faridah Mohd Maluddin, 52, menyentuh keranda jenazah anaknya sejurus tiba di perkarangan MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. Mohd Rais, 23, berasal dari Kota Belud dilaporkan meninggal dunia di Korea Selatan Ahad lalu. – Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: “Adik di dalam ini? …..abang, ….betulkah ini adik? Adik ke ini abang?” kata Faridah Mohd Maluddin, 56, ketika melihat keranda anak bongsunya, Allahyarham Mohd Rais Sarkhanuddin Zainordin, 23, yang meninggal dunia di Korea Selatan, Ahad minggu lalu tiba di perkarangan di Terminal MAS Kargo, jam 2 petang tadi.

Mengenakan pakaian serba hitam, ibu kepada dua cahaya mata itu yang ditemani anak sulungnya Mohd Syahzehanuddin, 25, dan beberapa ahli keluarga kelihatan tidak mampu menahan sebak dan menitiskan air mata sehingga terpaksa dipapah.

Mohd Syahzehanuddin juga yang seakan tidak percaya adiknya sudah tiada kelihatan mencium keranda milik Mohd Rais sambil berdoa.

Abang Allahyarham Mohd Rais, Mohd Syahzehanudin Zainordin, 25, mencium keranda adiknya sejurus tiba di perkarangan MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Abang Allahyarham Mohd Rais, Mohd Syahzehanudin Zainordin, 25, mencium keranda adiknya sejurus tiba di perkarangan MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. – Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan.

Jenazah Allahyarham Mohd Rais kemudian dibawa ke kampung halaman di Kampung Liang, Jalan Pantai Emas, Kota Belud.

Jenazah akan terus dibawa ke Masjid Nurul Hikmah, Kampung Liang untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan bersebelahan kubur arwah bapa di Tanah Perkuburan Kampung Liang, hari ini.

Dalam pada itu, sepupu Allahyarham, Mohd Faizal Hishamuddin Amirdin, 37, menyifatkan Mohd Rais seorang yang sangat manja, baik dan ringan tulang dalam membantu ahli keluarga.

“Kami pun diibaratkan seperti adik-beradik dan menganggap dia sebagai seorang adik yang baik. Kali terakhir kami bertemu bulan lalu di Kundasang, tetapi saya tidak menyangka kepulangannya kali ini hanya sebagai jenazah,” katanya.

Terdahulu, difahamkan Allahyarham datang ke Korea Selatan sejak sebulan lalu untuk melancong dan tinggal bersama rakan-rakannya.

Berita mengenai kematian Allahyarham tular di laman sosial selepas seorang ahli keluarga memohon kutipan dana bagi membawa pulang jenazah Allahyarham ke Sabah.

Source :