Pengusaha stesen minyak dikesan benarkan kenderaan asing isi petrol RON95

NIBONG TEBAL: Seorang pengusaha stesen minyak di Sungai Bakap bakal berdepan penalti sehingga RM1 juta selepas dipercayai menjual minyak petrol bersubsidi kepada warga asing sehingga gambar berkaitan insiden itu tular di media sosial.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan, berkata pihaknya mengambil maklum mengenai penularan gambar terbabit.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati premis itu dipercayai membenarkan sebuah kenderaan asing mengisi petrol bersubsidi pada jam 2.24 petang, petang kelmarin.

“Kita mengambil maklum akan insiden membabitkan sebuah kenderaan dengan plat nombor negara sempadan yang dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak berhampiran kawasan hentian rehat Sungai Bakap.

“Berdasakan aduan yang turut tular, kenderaan itu mempunyai plat nombor pendaftaran negara jiran mengisi petrol menggunakan nozel berwarna kuning disyaki RON95 yang ia adalah minyak bersubsidi.

“Susulan itu, tindakan penyitaan dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jegan berkata, KPDN akan menjalankan pemantauan yang lebih agresif di semua stesen minyak terutama yang berdekatan dengan negeri sempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ).

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti bagi individu iaitu didenda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbadanan atau syarikat didenda tidak melebihi RM2 juta ringgit,” katanya.