Kes Nur Farah Kartini: Abang terkilan tak dapat hadiri prosiding kes bunuh adik

KUCHING: Abang Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, Mohd Farizza Azmi terkilan apabila tidak dapat hadir di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor, bagi mengikuti prosiding pendakwaan suspek pembunuhan adiknya, hari ini.

Beliau kini berada Miri kerana bercuti di kampung halamannya di Kampung Lereng Bukit.

Mohd Farizza, 28, berkata beliau berpuas hati selepas mengetahui suspek didakwa, hari ini.

“Tetapi memang ada rasa terkilan kerana tidak dapat ikut bersama ke mahkamah pagi ini. Bagaimanapun, ada wakil keluarga kami mengikut prosiding itu secara dekat,” katanya ringkas menerusi mesej di aplikasi WhatsApp, hari ini.

Ahli keluarga Nur Farah Kartini berada di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. - Foto NTSP/Asyraf Hamzah
Ahli keluarga Nur Farah Kartini berada di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. – Foto NTSP/Asyraf Hamzah

Menurutnya, dengan pertuduhan terhadap suspek, beliau serta keluarga mengharapkan hukuman setimpal dikenakan atas apa yang dilakukannya.

Hari ini, seorang anggota dari Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25.

Tertuduh berusia 26 tahun itu didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabit di ladang kelapa sawit SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam, antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lalu.

Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini diiringi anggota Polis untuk dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. - Foto NTSP/Asyraf Hamzah
Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini diiringi anggota Polis untuk dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. – Foto NTSP/Asyraf Hamzah

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan, Muhammad Alif hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai Majistret, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Harun dan Muhammad Azri Zakaria, sementara peguam Aida Zainuddin dan Aida Md Jaafar mewakili tertuduh.