KUALA LUMPUR: Kontinjen negara diberikan perkhidmatan sokongan yang padu bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, terbaik dalam sejarah penyertaan di temasya terbesar dunia itu berbanding edisi-edisi sebelum ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Program Road to Gold (RTG) memberi layanan bertaraf ‘lima bintang’ kepada atlet yang terpilih bagi memastikan mereka melakukan persiapan terbaik untuk menamatkan penantian panjang Malaysia memenangi pingat emas pertama Olimpik.
Pada tahun ini, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memenuhi setiap keperluan tambahan atlet yang berpotensi memenangi emas dalam persiapan mereka menghadapi temasya di Paris.
Seramai 10 daripada 26 atlet yang bertanding di Olimpik Paris berada dalam program RTG yang dilancarkan pada Mac tahun lalu.
Antara yang menerima manfaat terbesar daripada RTG adalah skuad badminton dan berbasikal trek negara.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata sokongan yang diberikan RTG sangat penting dalam memastikan program latihan yang dirancang barisan kejurulatihan dapat dilaksanakan dengan berkesan selain mengoptimumkan persiapan pemain.
Enam pemain badminton negara iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menerima sokongan tambahan daripada RTG.
Jelas Rexy, dengan bantuan RTG, mereka dapat menggunakan khidmat dua bekas pemain badminton Indonesia, Ade Yusuf dan Rizqullah Hafid bagi menjadi rakan sepelatih kepada Pearly-Thinaah sekali gus meningkatkan lagi kekuatan dan kelajuan mereka.
Aaron-Wooi Yik turut diberikan dua rakan sepelatih dari Taiwan baru-baru ini manakala pakar psikologi, Frederick Tan dibawa masuk bagi membantu meningkatkan kekuatan mental pemain badminton negara.
“Saya berterima kasih kepada Jawatankkuasa RTG atas segala sokongan yang mereka berikan kepada kami. Mereka memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam semua aspek.
“Semua permohonan yang kami buat diluluskan dengan mudah. Apa yang kami perlu lakukan adalah memaklumkan kepada mereka mengenai apa yang kami perlukan.
“Kami diberitahu bahawa apa sahaja bentuk bantuan yang dapat membantu kami dalam usaha untuk memenangi pingat emas, mereka akan berikan.
“Ketika mesyuarat dengan Majlis Sukan Negara (MSN), kami ditanya sekiranya ada apa-apa lagi bantuan yang kami perlukan, kami maklumkan kami tidak perlukan apa-apa lagi kerana RTG sudah pun menyediakannya.
“Jadi, tanggungjawab kini terletak pada pemain untuk fokus dan memenangi emas pertama,” kata Rexy yang juga bekas juara beregu lelaki di Olimpik Atlanta 1996 bersama gandingannya, Ricky Subagja.
Dua pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut menerima sokongan yang padu menerusi RTG.
Kedua-dua pelumba itu sebelum ini menyertai perlumbaan di Belgium dan ketika ini sedang menjalani kem latihan akhir di Mallorca, Sepanyol sebelum berlepas ke Paris pada 1 Ogos ini.
Mereka akan dilengkapi dengan basikal baharu berteknologi tinggi, WX-R Vorteq di Paris, yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM7.5 juta.
Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley, berkata perbezaan utama yang dinikmati atlet di bawah RTG adalah mereka menerima bantuan dengan lebih pantas berbanding sebelum ini yang perlu melalui banyak kerenah birokrasi.
“RTG membantu mereka mendapatkan sokongan tambahan yang diperlukan. Kami ada akses untuk berhubung terus dengan Jawatankuasa RTG yang boleh mengambil tindakan segera berbanding sebelum ini yang perlu melalui banyak prosedur.
“MSN melaksanakan tugas mereka dengan baik biarpun terikat dengan dasar dan prosedur yang ditetapkan, jadi ia membuatkan tindakan menjadi sedikit perlahan daripada apa yang anda perlukan pada masa-masa tertentu.
“Ia bukan salah MSN kerana mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan tetapi ada masanya tindakan segera diperlukan, di sinilah RTG memainkan peranannya.
“(Menteri Belia dan Sukan) Hannah Yeoh membentuk pasukan yang hebat (Jawatankuasa RTG) yang mampu menangani kebanyakan situasi dengan sangat cepat kerana itu adalah matlamat penubuhannya.
“Mereka adalah pasukan yang luar biasa. Ia adalah satu keseronokan untuk berkhidmat di bawah orang hebat yang hanya keutamaan mereka adalah untuk membantu atlet melakukan persiapan terbaik,” kata Beasley.
Dalam pada itu, buat pertama kali dalam sejarah, kontinjen negara mewujudkan Rumah Malaysia iaitu satu inisiatif baharu diperkenalkan di bawah RTG bagi memberi sokongan tambahan diperlukan atlet negara di Paris.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, berikutan kuota agak terhad, Malaysia hanya dapat menempatkan beberapa kakitangan perkhidmatan sokongan di dalam perkampungan sukan di Paris.
Kataya, bagi mengatasi masalah itu, RTG memutuskan untuk menubuhkan Rumah Malaysia di sebuah hotel di Paris apabila pelbagai perkhidmatan sokongan untuk atlet akan disediakan.
Katanya, ia termasuk tukang urut, fisioterapi, psikologi, dan pakar pemakanan yang semuanya memainkan peranan penting dalam proses pemulihan atlet.