Israel, Hizbullah digesa elak ‘malapetaka’

PARIS: Kuasa dunia semalam merayu Israel dan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan untuk menahan diri daripada terus meningkatkan konflik antara kedua-dua negara ketika perang Gaza dikhuatiri merebak ke seluruh Asia Barat.

Ini berikutan Hizbullah dan tentera Israel semakin kerap berbalas tembakan rentas sempadan rentetan serangan kumpulan Islam Palestin Hamas terhadap selatan Israel pada 7 Oktober, mendorong Israel menyerang balas hingga tercetus perang dahsyat di Gaza.

Bagaimanapun, kebimbangan serangan habis-habisan serantau yang semakin meningkat minggu ini apabila kedua-dua pihak meningkatkan pertempuran, dengan serangan Israel membunuh berpuluh-puluh di Lubnan termasuk komander tertinggi Hizbullah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberitahu penyiar CNN beliau bimbang mengenai kemungkinan ‘Lubnan berubah (menjadi) satu lagi ‘Gaza’.

Pada masa sama, Penyelaras khas PBB untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, menyuarakan amaran menerusi platform sosial X, rantau itu kini ‘di ambang malapetaka yang akan berlaku’ dan tiada penyelesaian ketenteraan akan menjadikan kedua-dua pihak selamat.

Guterres juga berkata, kedua pihak itu, Israel dan Hamas tidak berminat untuk mencapai gencatan senjata bagi menamatkan perang kejam di Gaza yang berlarutan hampir setahun.

“Itu satu tragedi, justeru peperangan itu perlu dihentikan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata negaranya ‘benar-benar mendesak’ akan melakukan ‘apa saja yang mampu dilakukannya’ untuk menghalang perang serantau yang lebih meluas.

Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata konflik yang semakin memuncak itu bukan menandakan ‘kepentingan terbaik’ antara sekutu utamanya, Israel.

Beliau berkata demikian kepada ABC, bahawa Washington sebelum ini sudah memaklumkan terus perkara itu kepada Israel dan percaya ‘mungkin ada masa dan ruang untuk penyelesaian diplomatik’.

Sementara itu, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty memberitahu AFP terdapat ‘kebimbangan serius mengenai kemungkinan peningkatan perang di rantau itu’ yang akan membawa kepada perang habis-habisan.

Penduduk Palestin melihat kerosakan di dalam sebuah sekolah yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel, di kem pelarian Beach di Bandar Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin melihat kerosakan di dalam sebuah sekolah yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel, di kem pelarian Beach di Bandar Gaza. – Foto REUTERS

Penduduk Palestin melihat kerosakan di dalam sebuah sekolah yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal selepas ia dilanda serangan Israel, di tengah-tengah konflik Israel-Hamas, di kem pelarian Pantai di Bandar Gaza,

Katanya, peningkatan keganasan terbaharu ‘secara negatifnya menjejaskan’ rundingan gencatan senjata di Gaza, yang mana Mesir menjadi pengantara selama berbulan-bulan dengan Qatar dan AS.

Dalam pada itu, Ketua Dasar Luar Mesir, Josep Borrell, berkata blok 27 negara itu ‘sangat bimbang’ mengenai keganasan yang semakin meningkat dan menggesa gencatan senjata ‘segera’ dimeteraikan.

“Perang besar-besaran ‘mesti dielakkan, termasuk dengan memperbaharui usaha pengantaraan diplomatik yang sengit’,”katanya.

Sementara itu, Setiausaha Luar United Kingdom, David Lammy menggesa Israel dan Hizbullah mencapai ‘gencatan senjata segera’ berikutan ‘peningkatan serangan yang semakin membimbangkan’.

Berucap pada persidangan tahunan parti Buruhnya, Lammy berkata, gencatan senjata akan memudahkan ‘penyelesaian politik’ sekali gus membolehkan orang awam Israel dan Lubnan pulang ke rumah mereka dan hidup dalam aman dan selamat. – AFP