PRK Mahkota: BN sangkal penyebaran surat layang pengaruhi pengundi Cina

PUTRAJAYA: Penyebaran surat layang yang menggesa supaya pengundi Cina tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu ini, tidak memberi kesan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan semua jentera membabitkan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bekerja keras untuk memastikan semua pengundi keluar mengundi pada hari berkenaan.

“Semalam perkara itu dibawa oleh Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) kepada saya sebab saya semalam satu hari penuh berada di DUN Mahkota.

“(Penyebaran surat layang) didapati ia tidak ada pengaruh dan tidak mempengaruhi pun dalam kalangan pengundi Cina di DUN Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan MTVET dan Sesi Libat Urus 66 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Swasta bersama 12 kementerian TVET di sini, hari ini.