Selesai isu berbangkit Malaysia-Singapura melalui rundingan, bukan jadikan modal gugat hubungan – Anwar

ISKANDAR PUTERI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan baik dan kerjasama erat terjalin antara Malaysia dan Singapura tidak seharusnya digugat dengan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua negara.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sebarang isu berbangkit perlu diselesaikan secara rundingan supaya dapat membawa manfaat ‘menang-menang’ kepada semua pihak.

“Memang akan ada masalah dengan negara jiran… itu perkara biasa kerana semua negara ada masalah dengan jiran mereka. Tetapi, ini bukanlah satu isu yang boleh menyebabkan berlaku ketegangan atau tindakan balas membalas.

“Sebaliknya, kita perlu bekerjasama dan mengadakan perbincangan. Ini juga tidak akan mengganggu fokus dua negara untuk mendapatkan manfaat secara langsung,” katanya ketika berucap pada Invest Malaysia: Where Policy Meets Progress @ Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Penasihat Ekonomi (Pelaburan) Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Tambah Anwar, mengambil kira hubungan baik dua negara itu, kerajaan di bawah pentadbirannya terus teruja untuk mengadakan kerjasama ekonomi dengan Singapura melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Malaysia bertuah kerana merekodkan pertumbuhan ekonomi positif dalam suku pertama, kedua dan ketiga tahun ini. Ringgit juga sedang mengukuh selain Bursa Malaysia mengatasi bursa negara-negara lain di rantau ini.

“Rantau ASEAN menempatkan 680 juta penduduk dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) AS$3.5 trilion dan ia mempunyai potensi untuk berkembang berkali-kali ganda pada masa depan,” jelasnya.

Pada masa sama, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan dalam melakukan transformasi sekali gus memerangi jenayah rasuah.

“Politik negara kini stabil selepas kekacauan sebelum ini. Jadi, kita gunakan kekuatan ini untuk memastikan pentadbiran kerajaan yang baik dengan melawan korupsi,” katanya.