Pakistan sedia manfaat kemampuan Malaysia dalam industri halal – Duta

KUALA LMPUR: Kerjasama sektor dan industri halal akan menjadi antara fokus utama lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan bermula 2 September ini.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah, berkata Pakistan akan memanfaatkan kemampuan Malaysia dalam pensijilan halal yang sudah diiktiraf di pelbagai peringkat global.

Katanya, walaupun Pakistan tidak mempunyai isu berkaitan sektor halal memandangkan 97 peratus rakyatnya beragama Islam, kelebihan dimainkan negara ini dalam industri itu begitu menarik minat negara.

“Pastinya perbincangan bilateral antara pemimpin kami dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi topik utama namun antara fokus yang kita ingin ketengahkan adalah mengenai industri halal yang menjadi pelaburan penting kedua-dua negara.

“Pakistan adalah sebuah negara terbesar rakyat Muslim dunia dan tidak mempunyai sebarang isu mengenai halal, tidak perlu diperiksa (untuk kegunaan, makan) tetapi Malaysia adalah peneraju dalam pensijilan halal dan sudah tentu banyak perkara boleh dilakukan antara dua negara.

“Industri halal tidak hanya berkisarkan mengenai makanan tetapi banyak lagi seperti kewangan dan tekstil malah Pakistan-Malaysia juga berkongsi nilai sama serta masyarakat yang sama dalam isu ini,” katanya ketika sidang media khas sempena lawatan Anwar ke Pakistan di pejabat kedutaan negara itu, di sini hari ini.

Mengulas lawatan itu, Syed Ahsan berkata, Pakistan sangat komited dalam menjalinkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Menyifatkan Malaysia sebagai negara ‘brotherhood’, beliau turut berkata, Pakistan-Malaysia saling berganding bahu dalam menyatakan pandangan mengenai isu-isu global termasuklah kekejaman terjadi di Gaza, Palestin.

Katanya, isu Gaza menjadi perkara sangat utama bagi dua pemimpin negara Islam itu, malah keberanian Anwar dalam menyuarakan bantahan terhadap Israel sangat dikagumi.

“Isu berkenaan sangat dekat bukan sahaja kepada Malaysia malah negara kami sendiri dan pendirian Malaysia adalah sama seperti pendirian ditegakkan Pakistan.

“Kedua-dua pemimpin negara juga sudah bercakap beberapa kali dalam panggilan telefon malah sudah bersua muka di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menyatakan pendirian masing-masing, sekali gus merapatkan lagi dua negara,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan Malaysia menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), Syed Ahsan berkata, perkara itu tidak akan memberi kesan terhadap hubungan baik antara Malaysia-Pakistan.

“Malaysia disifatkan mempunyai hubungan rapat iaitu bersaudara dengan Malaysia dan kesediaan negara ini untuk menyertai BRICS tidak akan memberi kesan dalam hubungan bilateral ini seperti mana jalinan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain,” katanya.

Anwar dijangka mengadakan lawatan ke Pakistan pada 2 hingga 4 Oktober depan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Mohammad Azhar Mazlan, di Islamabad bulan lalu berkata, lawatan Perdana Menteri akan menawarkan potensi besar untuk mengembangkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara

Katanya, kerjasama strategik antara Malaysia dan Pakistan mempunyai potensi sangat besar memandangkan kedua-dua pihak berhasrat memperluas hubungan mereka dalam pelbagai bidang.