‘Arsenal boleh menang EPL musim ini’

LONDON: Arsenal boleh pergi jauh dan menamatkan penantian 21 tahun untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kata pemain sayap, Bukayo Saka selepas pasukannya menewaskan juara Ligue 1, Paris St Germain (PSG) 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara.

Arsenal menamatkan saingan di tempat kedua pada musim 2022-23 dan membawa perebutan kejuaraan Liga Perdana ke hari terakhir musim lalu sebelum sekali lagi menduduki tempat kedua di belakang Manchester City.

Mereka ketika ini berada di kedudukan ketiga liga dan kemenangan mengagumkan ke atas gergasi Perancis menggariskan kekuatan skuad kendalian Mikel Arteta dengan Kai Havertz dan Saka menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

“Saya tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan kepada kami tetapi saya fikir ini adalah tahunnya (kami boleh memenangi gelaran),” kata Saka kepada CBS Sports.

“Saya berasa kami sudah hampir (memenangi gelaran) sejak dua tahun lalu dan kami semakin hampir, tetapi diharap ia akan menjadi tahun ini.”

Saka, yang berjaya menetapkan dirinya sebagai pemain utama di Arsenal dan muncul penjaring terbanyak kelab itu dalam Liga Perdana musim lalu berkata, terlepas kejuaraan yang sudah hampir dalam genggaman menyebabkan dia dahagakan kejayaan.

“Pada tahun sebelum ini, saya banyak menjadi naib juara. Semangat dalam diri saya mahukan kemenangan musim ini dan sudah tentu, saya amat percaya pada diri sendiri,” kata pemain berusia 23 tahun itu kepada Amazon Prime.

“Kami percaya pada diri sendiri, kami percaya kami adalah pasukan teratas. Kami menunjukkannya malam ini (menentang PSG).” – REUTERS