‘Guan Eng akan bagi projek terowong jika dapat atur MoU dengan syarikat China’ — Saksi

KUALA LUMPUR: Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) mendakwa Lim Guan Eng akan memberinya projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang secara rundingan terus, jika beliau dapat mengaturkan satu majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat dari China.

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, Guan Eng menyatakan projek berkenaan akan diberikan kepada beliau jika majlis disaksikan Perdana Menteri China.

“Guan Eng memaklumkan perkara itu dalam kereta ketika saya menghantarnya pulang pada awal Mac 2011. Selain itu, dalam keterangan saya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes G Gnanaraja, saya ada cerita pasal peranan Guan Eng dan pegawainya untuk membantu saya mendapatkan projek ini (projek terowong),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding bagi mencabar kredibilitinya yang didakwa memberikan keterangan bercanggah kepada SPRM dan di mahkamah, berhubung kes penipuan ahli perniagaan itu membabitkan wang RM19 juta berkaitan kes rasuah projek berkenaan.

Pada 24 Mac 2022, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah, Guan Eng gembira apabila majlis MoU antara kerajaan negeri dengan Beijing Urban Construction Group (BUCG) berhubung projek mega berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu bernilai RM6.34 bilion, disaksikan Perdana Menteri Malaysia dan China.

Zarul Ahmad berkata, beliau menerima panggilan telefon sekitar 2011 daripada Guan Eng memaklumkan Perdana Menteri China ketika itu, Wen Jiabao dan Datuk Seri Najib Razak, ketika itu Perdana Menteri, akan menghadiri majlis menandatangani MoU diadakan di Putrajaya pada 28 April 2011, yang turut dihadirinya.

Ditanya Wan Shaharuddin, adakah Zarul Ahmad ada menyatakan mengenai isu 10 peratus ketika memberi keterangan kepada SPRM, beliau berkata: “Tidak, saya diarahkan untuk asingkan (keterangan) mengenai pemberian wang bagi kes Gnanaraja dengan kes Guan Eng”.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin, Zarul Ahmad mengesahkan seorang pegawai penyiasat SPRM memberitahunya mengenai siasatan khas yang dijalankan berhubung kes rasuah membabitkan Guan Eng.

Katanya, beliau sudah memberikan keterangan secara terperinci kepada SPRM mengenai kes berkenaan.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memaklumkan kepada mahkamah pihaknya memohon memanggil pegawai penyiasat SPRM, Ng Weng Jun, yang menjalankan siasatan berhubung kes Gnanaraja, bagi menyokong keterangan Zarul Ahmad dalam prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi terbabit.

“Saksi ini relevan untuk dipanggil kerana Zarul Ahmad ada menyebut nama Weng Jun pada prosiding mencabar kredibilitinya.

“Sekiranya pegawai penyiasat itu dipanggil, beliau dapat memaklumkan kepada mahkamah sama ada betul atau tidak beliau meminta Zarul Ahmad memisahkan keterangan mengenai Gnanaraja daripada keterangan mengenai Guan Eng,” katanya.

Sementara itu, peguam RSN Rayer yang mewakili Guan Eng membantah permohonan itu dengan alasan Weng Jun bukan pegawai penyiasat yang merakam percakapan Zarul Ahmad dalam siasatan kes Gnanaraja.

Hakim Azura Alwi menetapkan 9 Oktober untuk membuat keputusan mengenai permohonan itu dan prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – BERNAMA