KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas bebas, berkuat kuasa 10 Oktober ini, bagi menyiasat insiden kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia selari pendirian tegas KKM tidak bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja.
“Pasukan petugas khas ini berperanan melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian pakar patologi kimia di Lahad Datu secara khusus, serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.
“Seterusnya, mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi hospital terbabit secara khusus.
“Selain itu, mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan terbabit.
“Ia juga berperanan menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian pakar perubatan patologi kimia di Lahad Datu serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang doktor yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, 29 Ogos lalu, didakwa disebabkan tindakan bunuh diri berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.
Adik mangsa dikenali sebagai YS Tay, mendakwa bahawa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, ditindas pegawai atasan beliau, selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.
Tay dalam perkongsian melalui akaun Facebooknya dipetik mendakwa, kakaknya yang sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Unit Patologi Kimia di Jabatan Patologi juga terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan perancangan kewangan jabatan.
Menjelaskan lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah yang berpengalaman menyandang pelbagai jawatan utama dalam perkhidmatan awam.
“Ia turut dianggotai lima ahli bebas bukan anggota KKM yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli.
“Mereka ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, serta mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) yang berkhidmat dengan KKM selama 35 tahun, Datuk Dr Azman Abu Bakar.
“Selain itu, pesara perkhidmatan awam dalam profesion Pegawai Kehakiman dan Penasihat Undang-Undang di pelbagai kementerian, Datuk Mohamad Fazin Mahmud,” katanya.
Turut dilantik sebagai ahli pasukan itu ialah Profesor Ulung pertama di Malaysia dalam bidang Patologi, Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng yang kini menyandang jawatan sebagai Perunding Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), malah merupakan pakar patologi berprestij di dunia dengan pengkhususan dalam patologi global, teknologi inovatif dan kanser.
Seorang lagi ahli ialah Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Chan Lai Fong yang memiliki kepakaran dalam bidang pencegahan bunuh diri serta mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.
Dr Dzulkefly sekali gus menegaskan, KKM komited memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.
“KKM yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga KKM selaras visi menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia MADANI,” katanya.