KUALA LUMPUR: Rata-rata netizen berpendapat bahawa subsidi pendidikan itu layak diberikan kepada setiap pelajar kerana mereka juga mempunyai hak sebagai seorang rakyat negara ini.
Berdasarkan lebih daripada 3,000 komen diperoleh di laman sosial Facebook Berita Harian Online, kebanyakan mereka berpendapat pendidikan itu perlu diberikan secara sama rata, tidak kira kaya atau miskin.
Seorang yang rajin, wajar untuk mendapat pendidikan yang selayaknya kerana rata-rata netizen berpendapat institusi pendidikan awam di negara ini terbaik kerana lengkap dengan pelbagai fasiliti dan tenaga pengajar berpengalaman.
Bagi netizen, Syafiq Azman, berkata kerajaan perlu sedar golongan yang banyak menyumbang kepada pendapatan negara dengan membayar cukai dan zakat adalah golongan T20 dan M40.
“Justeru pendidikan dan kesihatan wajar diteruskan subsidi tidak kira kepada semua yang berhak menerimanya,”katanya.
Sementara itu, Hus Hussain berkata, sekiranya pelajar itu cemerlang, tidak kisah sama ada kaya atau miskin, dia sememangnya layak untuk mendapat subsidi berkenaan.
“Hasil cukai sepatutnya untuk semua rakyat dan yang bayar cukai pun patut nikmati subsidi pendidikan,”katanya.
Bagi Ahmad Faizal Abdullah, beliau berpendapat tidak wajar menindas hak pelajar yang layak belajar di universiti awam atas kapasiti mereka rajin belajar.
“Jangan nak salahkan ibu bapa mereka atas faktor kewangan, maka dinafikan bantuan kerajaan atas kecemerlangan anak-anak mereka. Salah satu kezaliman dan penindasan tak adil yang nyata, anak-anak tidak bersalah,”katanya.
Perkara sama turut dilontarkan oleh Ct Ayza, dengan menyatakan pandangan adakah wajar ibu bapa bekerja di sektor kerajaan atau profesional dan mengggabungkan gaji sudah dianggap sebagai T20 dan kaya.
“Mereka yang tak layak mendapat subsidi sebenarnya ialah menteri, ketua pegawai eksekutif, pemilik syarikat dan gedung perniagaan,” katanya.
Bagi Go On,tidak kira kaya atau miskin, rakyat juga ada hak untuk mendapat subsidi kerana membayar cukai.
“Bab pendidikan, kerajaan kena sama rata dan tidak boleh berkira. Kalau semua nak sekat, lebih baik pilih kerajaan lain selepas ini,” katanya.
Sementara itu mengulas berita bertajuk ‘Anak orang kaya bayar RM7,520 belajar di UA, kerajaan tanggung kos RM80,623’ dalam laman sosial Facebook Berita Harian Online, sebanyak 3,100 komen diterima, 6 juta memberikan tanda suka dan 447 perkongsian.