Enam ditahan terlibat sindiket pelaburan ‘Kakaue’, kerugian cecah RM18 juta

Ramli menunjukkan gambar-gambar pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan “Kakaue” ketika sidang media khas di Menara KPJ. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam rakyat tempatan disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan “Kakaue” melibatkan nilai kerugian RM18 juta melalui beberapa serbuan di Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam serbuan bermula 7 hingga 11 Okt itu, empat lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 41 tahun ditahan.

Beliau berkata kesemua suspek berperanan sebagai pemilik syarikat keldai untuk menerima wang pelaburan daripada mangsa-mangsa yang menyertai skim pelaburan berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini mengiklankan tawaran pelaburan melalui aplikasi media sosial Facebook dengan menggunakan nama Syarikat Kakaue yang kononnya berperanan sebagai broker pelaburan kripto.

“Mangsa yang berminat akan dimasukkan ke dalam group Whatsapp dan diterangkan perihal pelaburan itu, kemudian mangsa akan diminta memuat turun aplikasi pelaburan Kakaue dan mendaftar menjadi ahli,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Source :