Dua beradik maut, empat ahli keluarga cedera kereta terbabas

KINABATANGAN: Perjalanan pulang enam sekeluarga berakhir dengan tragedi apabila dua daripadanya maut selepas kereta dinaiki terbabas dan terbalik di Batu 32, Bukit Garam, di sini, petang tadi.

Mangsa remaja perempuan dan adik lelakinya berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa cedera membabitkan dua kanak-kanak berusia enam dan 10 tahun serta dua lagi mangsa wanita dan lelaki berusia 53 tahun.

Difahamkan, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke rumah mereka di Sukau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Nurul Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai bomba.

“Setiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Aruz terbabas sendiri dan terbalik di atas jalan raya.

“Terdapat enam mangsa terbabit dalam kemalangan iaitu empat dilaporkan cedera manakala dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.