MANCHESTER: Ruud van Nistelrooy mengakui sedih melihat Erik ten Hag dipecat Manchester United tetapi bekas penyerang kelab itu menyifatkan ia satu penghormatan besar buat dirinya untuk mengendalikan pasukan sebagai pengurus sementara selama yang diperlukan.
Jurulatih dari Belanda, Ten Hag dipecat, kelmarin dengan pasukan itu ketika ini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.
Nistelrooy, 48, menyertai barisan kejurulatihan Ten Hag sebagai penolong jurulatih pada Julai lalu.
Dia dilantik sebagai pengurus sementara dan akan mengendalikan pasukan buat kali pertama apabila melayan kunjungan Leicester City di Old Trafford pada aksi Piala Liga, awal pagi esok.
“Erik ten Hag membawa saya kembali ke Manchester United pada musim panas dan walaupun saya hanya menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan di sini selama beberapa bulan, saya akan sentiasa berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada saya, dan saya sedih melihat dia pergi,” kata bekas pemain antarabangsa Belanda itu.
“Apabila saya kembali pada musim panas sebagai pembantu Erik, ia adalah kerana saya percaya bahawa Manchester United boleh kembali ke tahap yang saya pernah lalui di sini sebagai pemain. Saya masih percaya dengan perkara itu, tetapi ia memerlukan masa dan usaha yang banyak.
“Walaupun hanya sebagai pengurus sementara, adalah satu penghormatan besar untuk menguruskan kelab yang saya cintai, selama mana saya diminta untuk melakukannya.
“Saya boleh berjanji bahawa saya akan terus memberikan yang terbaik, dalam apa jua kapasiti, untuk cuba memulihkan nasib kami.”
Walaupun Nistelrooy turut diletakkan sebagai calon untuk jawatan tetap, ketua jurulatih Sporting, Ruben Amorim dilapor menjadi pilihan utama bagi mengendalikan The Red Devils.
Sporting dalam satu kenyataan semalam mengesahkan United berminat untuk mengikat jurulatih mereka Amorim dan bersedia untuk membayar klausa pelepasan sebanyak 10 juta euro (RM47.37 juta). – REUTERS