115 ahli keluarga lima generasi Pak Chu berkumpul

SHAH ALAM: Buat julung kalinya, lima generasi keturunan keluarga Allahyarham Chu Abdul Rani berkumpul di Klana Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Seramai 115 ahli keluarga berusia dari lima bulan hingga 87 tahun datang dari Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Singapura hadir bagi menjayakan program yang diberi nama ‘Moh Ler Kome’.

Pengarah program, Dr Rushdan Abd Aziz, 54, berkata persiapan program itu dirancang sejak tiga bulan lalu dengan sumber kewangan datang daripada kalangan keluarga.

Beliau berkata, idea mengumpulkan keluarga besar ini dicetuskan olehnya dan isteri, Dr Nor Zainura Zainal, 54.

“Untuk rekod, Chu Abdul Rani atau lebih dikenali sebagai Pak Chu adalah satu nama yang unik di mana menggabungkan tiga bangsa di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

“Beliau berasal dari Lambor, Perak dan menetap di Ipoh selepas berkeluarga sehingga meninggal dunia. Hari ini, generasinya telah berkembang kepada lima generasi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, generasi kedua keluarga itu, Kamarulzaman Chu Abdul Rani berkata beliau bersyukur program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Beliau turut berharap semua ahli keluarga dapat berkenalan dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Beberapa aktiviti telah dirancang dan berjaya dilaksanakan. Antaranya senam robik dan sukaneka.

“Pada sebelah malam, diadakan makan malam yang diselitkan sekali cabutan bertuah dan persembahan. Tema busana majlis adalah pakaian ‘Opah dan Atuk’,” katanya.

Kamarulzaman berkata, persembahan pula berupa nyanyian solo dan berkumpulan, tarian Melayu, tarian moden, pantun nasihat dan lawak jenaka.

“Perjumpaan diakhiri dengan bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan. Kami mengharapkan ini bukanlah program terakhir kerana akan ada perjumpaan seterusnya di masa akan datang,” katanya.