Haramkan UNRWA pelengkap pelan rejim Zionis kuburkan Palestin

ISNIN lalu, Israel meluluskan rang undang-undang (RUU) mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) beroperasi di wilayah pendudukan Baitulmaqdis, Tebing Barat serta Gaza.

Tanpa mempedulikan kritikan masyarakat antarabangsa, Israel menyifatkan RUU itu sebagai langkah perlu melindungi tanah jajahan mereka dan pendatang Yahudi di Palestin daripada ancaman kumpulan pejuang Islam.

Naratif Israel bagi menghalalkan segala tindakan mereka di wilayah diduduki di Palestin amat mudah mahu memerangi ancaman kumpulan pejuang membebaskan Palestin dengan label pengganas, namun taktik itu bukan satu rahsia lagi.

Israel selamat kerana mendapat naungan istimewa daripada sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS), apatah lagi negara ‘Uncle Sam’ itu sedang berada dalam mood pemilihan Presiden baharu.

Sokongan terhadap Israel amat mempengaruhi keputusan pemilihan Presiden AS kelak. Atas faktor ini, Israel mengambil kesempatan untuk melanyak Palestin dan antara strateginya adalah dengan mengharamkan UNRWA.

Plot dan jalan cerita dipersembahkan Israel untuk menghalalkan segala tindak-tanduk mereka tetap sama sejak dahulu cuma watak, karakter serta mangsa sahaja berbeza.

Seperti biasa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekadar mengutuk tindakan rejim Zionis sambil menuntut Israel mematuhi resolusi diluluskan bagi melindungi nyawa rakyat Palestin, di samping mahu mengembalikan semula keamanan di rantau berkenaan.

Penduduk mencari mangsa di bawah runtuhan pangsapuri susulan serangan tentera Israel di utara Gaza, Selasa lalu. - Foto AFP
Penduduk mencari mangsa di bawah runtuhan pangsapuri susulan serangan tentera Israel di utara Gaza, Selasa lalu. – Foto AFP

Konflik dicetuskan Israel di Palestin ibarat ’10 jong berlalu, anjing tetap bercawat ekor’. Walau apa pun resolusi, kritikan, desakan dan gesaan disuarakan masyarakat antarabangsa, Israel tetap kebal daripada sebarang tindakan undang-undang antarabangsa.

Negara Islam terutama di Asia Barat, khasnya yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel juga terpaksa mengunci mulut mereka, merelakan warga Palestin terutama di Gaza, Rafah dan Tebing Barat terus ditindas, dizalimi dan dibunuh tentera rejim Zionis.

Soalnya, sampai bila pertubuhan penting dunia khasnya PBB hanya menjadi boneka untuk mengeluarkan resolusi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab sekadar mengutuk, Kesatuan Eropah (EU) serta Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) memejamkan mata tanpa bertindak terhadap kerakusan Israel.

Banyak juga negara kecil, termasuk Malaysia melaungkan bantahan dan kritikan terhadap keputusan terbaharu Israel itu, namun impaknya mungkin akan lebih membekas jika ada negara kuasa besar sanggup menjentik rejim Zionis.

Berdasarkan keputusan terbaharu parlimen Israel itu, ia menggambarkan pelan rejim Zionis mahu menguburkan Palestin dan seluruh warganya semakin mencapai matlamatnya.

Malangnya, negara Islam dan masyarakat antarabangsa sekadar memerhati dan berduka, melakukan protes di jalanan, tetapi yang terus merana serta sengsara adalah warga Palestin.

Hakikatnya, keganasan Israel di Palestin bukan sekadar konflik antara agama, bahkan pelanggaran hak asasi manusia dan pencabulan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, tetapi terlepas daripada sebarang tindakan.