Raja ilmuan berjiwa rakyat

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim mendengar penerangan mengenai pameran kesihatan pada majlis perasmian Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Februari lalu. – Foto Sinar Harian

IPOH: Kecintaan mendalam terhadap ilmu serta kemuliaan sikap ehsan menjadikan singgahsana yang diwarisi membawa limpahan kesejahteraan buat rakyat jelata.


Begitulah kesarjanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bukan sahaja dikagumi rakyat di negara ini, malah kebijaksanaan baginda dalam memperkaya disiplin ilmu turut disanjung masyarakat antarabangsa.

Tidak hairanlah, banyak karya akademik yang merakamkan perakuan betapa negeri dan rakyat Perak sangat bertuah kerana bernaung di bawah pemerintahan baginda seorang raja yang sangat akrab dengan perbendaharaan ilmu.

Kebijaksanaan baginda itu sentiasa terpancar melalui buah fikiran bernas yang terkandung dalam setiap bait titah baginda, menyerlahkan sifat seorang raja yang adil, tegas dan prihatin terhadap hal ehwal kehidupan rakyat.

Hakikat ini turut diakui oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyifatkan titah-titah baginda ibarat penyuluh yang memberi inspirasi kepada jentera pentadbiran dalam mengurus negeri.

“Setiap nukilan titah baginda membawa pengertian dan makna untuk melihat dunia menjadi semakin baik, negeri dan negara diurus dengan hemah dan cermat.

“Supaya negeri dan rakyat akhirnya mendapat manfaat daripada setiap dasar dan polisi yang dilaksanakan Kerajaan,” katanya.

Malah menurut Saarani, buah fikiran Sultan Nazrin menanggapi pelbagai isu yang memberi inspirasi kepada jentera pentadbiran, khususnya dalam menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030.

Dilancarkan pada 15 Jun 2022, pelan Perak Sejahtera 2030 kini berada di landasan betul dalam memenuhi kesemua sembilan agenda yang ditetapkan bagi mencapai tiga sasaran iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.

Pelan ini berpaksikan sembilan agenda iaitu Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Perlombongan Bertanggungjawab, Perak Koridor Pendidikan dan Latihan dan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti serta Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan.

Melalui dasar-dasar berorientasikan rakyat bersama amalan tadbir urus yang baik bagi menarik keyakinan pelabur, kerajaan negeri mampu merencana serta melaksanakan projek-projek berimpak tinggi termasuk Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Taman Industri Halal Perak (Perak HIP), Silver Valley Technology Park (SVTP), Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

Sultan Nazrin amat mengikuti rapat perjalanan pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030 apabila setiap kali bertitah, baginda tidak jemu memberi penghargaan, nasihat dan panduan untuk memastikan pembangunan yang dirancang dapat dijayakan.

Baginda banyak menyentuh berkaitan agenda di dalam pelan pembangunan tersebut termasuklah keterjaminan makanan, pembangunan modal insan, diversifikasi ekonomi untuk memangkin pertumbuhan serta budaya kerja bagi memperkasa sistem penyampaian.

Budaya kerja baharu

Memetik titah Sultan Nazrin sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444H Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada 30 Julai 2022, baginda menekankan perlunya budaya kerja baharu melalui kaedah-kaedah dan mekanisme moden supaya produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.

“Malaysia berada di ambang bahaya keselamatan bekalan makanan. Usaha-usaha perlu dilakukan secara bersungguh dan berfokus untuk mengurangkan import.

“Langkah-langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan, dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil,” titah baginda.

Nasihat serta mutiara pemikiran baginda itu menanam keazaman serta tekad buat pentadbiran kerajaan negeri untuk melaksanakan amanah sejujur, setulus dan sedaya mungkin demi kesejahteraan rakyat.

Sultan Nazrin seorang raja pemerintah yang sangat memahami denyut nadi rakyat kerana baginda begitu sensitif dengan setiap perubahan di dalam negara apatah lagi kerajaan negeri Perak.

Sultan Nazrin diputerakan pada 27 November 1956 dan dimasyhurkan sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Februari 1984, kemudian sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1987.

Setelah kemangkatan ayahanda baginda, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 28 Mei 2014, baginda telah dipilih sebagai Sultan Perak ke-35 oleh Dewan Negara Perak dan dimasyhurkan sebagai Sultan pada 29 Mei 2014.

Baginda diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan dikurniakan dengan seorang putera, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan seorang puteri, Raja Datuk Seri Nazira Safya.

Baginda memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah 5 sebelum menyambung pendidikan rendah dan menengah rendah daripada darjah 6 hingga tingkatan 2 di Sekolah St. John, Kuala Lumpur.

Sultan Nazrin berangkat ke United Kingdom ketika berusia 13 tahun untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge.

Baginda kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.

Pada 16 Ogos 2014, baginda diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk dilantik sebagai Canselor Universiti Malaya.

Ketokohan serta kebijaksanaan baginda terserlah apabila dilantik sebagai Fellow Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan juga Magdalene College dan St. Edmund’s College, Universiti Cambridge.

Baginda juga merupakan Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Felo Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; Felow Diraja Institut Kajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa Malaysia; Felow Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia; dan Penaung Diraja Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri Malaysia; Penaung Diraja Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Atas jemputan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, baginda telah berkenan mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015 hingga 2016.

Selain itu, Sultan Nazrin juga pernah memenuhi peranan sebagai Duta Khas Malaysia menghadiri Dialog Antara Agama dan Antara Kebudayaan di konferens Perikatan Peradaban anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Baginda berkenan menerima peranan sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia Pada 14 Ogos 2014.

Pada 14 Disember 2016, Sultan Nazrin dilantik sebagai Timbalan YDPA ketika Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menjadi YDPA ketika itu.

Apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai YDPA, Sultan Nazrin sekali lagi meneruskan tugas berkenaan apabila dilantik kembali meneruskan tugas berkenaan untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Baginda mengangkat sumpah jawatan untuk kali ketiga pada 31 Januari 2024 sebagai Timbalan YDPA ketika Sultan Ibrahim dilantik sebagai YDPA.

Sultan Nazrin telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan YDPA dengan penuh dedikasi dan pelantikan semula ke jawatan itu adalah bukti jelas terhadap prestasi cemerlang baginda.