KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila melangkah ke suku akhir Masters Korea, hari ini.
Pada aksi pusingan kedua di Iksan City itu, beregu ranking nombor enam dunia itu menewaskan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shing Baek Cheol dengan keputusan straight set 21-18, 21-17.
Apa yang menariknya, perlawanan itu adalah membabitkan dua bekas juara dunia dengan Aaron-Wooi Yik adalah juara dunia pada 2022 manakala Sung Hyun-Baek Cheol meraih kejayaan sama pada 2014.
Sekalipun pertembungan membabitkan dua bekas juara dunia bukan sesuatu yang pelik, apa yang sedikit unik adalah pertembungan itu berlaku di kejohanan berstatus Super 300 BWF (Persekutuan Badminton Dunia).
Dan selepas mengharung perlawanan tiga set untuk menewaskan pasangan Taiwan, Chiang Chien Wei-Wei Chun pada pusingan pertama sebelum ini, Aaron-Wooi Yik hanya memerlukan tempoh 32 minit untuk menyingkirkan Sung Hyun-Baek Cheol.
Sebagai rekod, kali pertama pertembungan membabitkan kedua-dua pasangan ini pada 2021 di Terbuka Perancis memihak kepada Sung Hyun-Baek Cheol yang turut menjuarai kejohanan berkenaan.
Aaron-Wooi Yik yang juga pingat gangsa Olimpik Paris 2024 terpaksa beraksi di Masters Korea untuk meningkatkan peluang untuk meraih tiket ke Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China, bulan depan.
Lawan pasangan itu selepas ini sama ada beregu Taiwan, Lu Chen-Po Li Wei atau gandingan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Lee Sang Won.
Sementara itu, hasrat satu lagi wakil negara, Jacky Kok untuk melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila teAwas kepada pilihan kelima kejohanan dari Jepun, Takuma Obayashi 22-20, 21-14.