LONDON: Pengurus sementara England, Lee Carsley memanggil pemain bek kiri Newcastle, Lewis Hall dan pemain pertahanan Southampton, Taylor Harwood-Bellis buat kali pertama ketika dia mengumumkan skuad terakhirnya, hari ini.
Carsley akan kembali ke peranannya sebagai pengurus pasukan Bawah-21 selepas perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Greece dan Ireland, dengan Thomas Tuchel akan memulakan tugasnya sebagai pengurus baharu pada Januari.
Hall, 20, menarik perhatian bersama Newcastle musim ini, bermain dalam kesemua 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan berpotensi menyelesaikan masalah bek kiri England.
Harwood-Bellis, 22, juga menjadi pemain utama untuk Southampton dan menunjukkan prestasi baik walaupun melalui permulaan yang sukar dalam Liga Perdana bersama kelabnya.
“Mereka berdua adalah pemain yang telah bermain banyak minit musim ini dan membuktikan bahawa mereka boleh konsisten bermain di Liga Perdana pada tahap tinggi,” kata Carsley.
Pemain pertahanan Manchester City, John Stones dan pemain tengah Manchester United, Kobbie Mainoo diketepikan kerana kecederaan, tetapi Declan Rice, Jack Grealish dan Cole Palmer tetap tersenarai dalam skuad 26 pemain walaupun bergelut dengan masalah kecergasan.
Pemain tengah Liverpool yang belum pernah beraksi, Curtis Jones juga kembali dalam skuad selepas panggilan pertama bulan lepas untuk perlawanan menentang Greece dan Finland.
England akan bertandang ke Stadium Olimpik di Athens, Khamis ini untuk berdepan Greece yang memiliki kelebihan tiga mata di puncak Kumpulan B2, sebelum menjadi tuan rumah menentang Ireland tiga hari kemudian.
Kekalahan di Athens akan menamatkan peluang England untuk layak secara automatik ke peringkat lebih tinggi Liga Negara-Negara.
Tuchel menandatangani kontrak selama 18 bulan yang bermula pada 1 Januari dan dia hanya akan menjadi pemerhati untuk perlawanan bulan ini.
“Dia tidak mempunyai pengaruh dalam pemilihan skuad,” kata Carsley.
“Saya ada berbual dengannya melalui mesej, tetapi ia sekadar ucapan tahniah. Saya rasa dia sangat menghormati kerja yang bukan sahaja saya, tetapi juga kakitangan sedang lakukan.” – AFP