Suspek kes buli pegawai kadet ALK UPNM ditekap seterika akan didakwa di mahkamah esok

KUALA LUMPUR: Seorang individu akan dituduh di mahkamah berkait kes buli membabitkan seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), esok.

Menurut kenyataan Polis Kuala Lumpur, pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8 pagi.

“Kes pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan membabitkan kes buli pelajar UPNM,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Dalam pada itu, BH difahamkan pertuduhan membabitkan seorang pelajar senior UPNM berusia 22 tahun yang sebelum ini dilaporkan dirakam keterangan oleh polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.

Mangsa membuat laporan polis pada malam Jumaat lalu (1 November) dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.