Guan Eng menang saman fitnah, Muhyiddin kena bayar RM1.35 juta

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar ganti rugi bernilai RM1.3 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana memfitnah dalam isu cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Mahkamah mendapati Pengerusi DAP itu berjaya membuktikan kesnya terhadap bekas Perdana Menteri itu berdasarkan keseimbangan kebarangkalian.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan Muhyiddin telah fitnah dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Guan Eng menyalahgunakan kedudukan serta kuasa ketika menjadi Menteri Kewangan dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip cukai serta mengenakan penalti terhadap Yayasan Albukhary.

“Defendan juga tidak mengesahkan terlebih dahulu kenyataan tidak berasas yang dikeluarkan terhadap plaintif. Kenyataan ini bukan sahaja tidak benar sebaliknya telah membawa kesan yang amat buruk dalam negara berbilang bangsa.

“Kenyataan ini juga telah menyebabkan reputasi pemohon terjejas teruk di hadapan mata umum. Dengan ini mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM1.3 juta dan RM50,000 tambahan,” katanya hari ini.

Roz Mawar juga memerintahkan Muhyiddin untuk menarik balik kenyataan tersebut dan tidak sesekali mengulanginya lagi.

Ketika prosiding itu dibacakan, bilik bicara yang dipenuhi dengan penyokong dan pemimpin Guan Eng termasuklah ayah beliau yang juga ahli politik veteran DAP, Tan Sri Kit Siang saling berpelukan serta gembira keputusan berpihak kepada Ahli Parlimen Bagan itu.

Manakala kelibat Muhyiddin tidak kelihatan dalam bilik bicara pagi ini.

Sebelum ini, dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng mendakwa, Muhyiddin ditahan SPRM pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.

Muhyiddin didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya dan kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Kata Guan Eng, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.

Jelas beliau kenyataan itu seolah-olah bermaksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam dengan sengaja menyasarkan Yayasan Al-Bukhary dan dirinya serta sengaja mensabotaj yayasan berkenaan.

Ini juga bermaksud dakwa Guan Eng beliau seorang pendendam dan bertindak dengan niat jahat dengan menyalahgunakan kuasa serta tidak cekap ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Justeru itu, plaintif menuntut Muhyiddin memohon maaf dan menarik kesemua kenyataan terbabit dan menyiarkan permohonan maaf dalam Facebook dan Twitter miliknya serta dalam beberapa akhbar dan portal berita di negara ini dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Sebelum itu juga, Guan Eng sudah telah menghantar surat tuntutan untuk Muhyiddin menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung tuduhan mengaitkannya dengan pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary.

Muhyiddin sebelum ini mendakwa Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mengenakan semula cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Ujar Muhyiddin, selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada Mei 2018, LHDN enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini. -MalaysiaGazette

Source :