Vinicius Jr ganti Rodrygo jumpa Venezuela

BELEM, Brazil: Jurulatih Brazil, Dorival Jr berkata penyerang Vinicius Jr akan turun dalam kesebelasan utama menggantikan Rodrygo bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan menentang Venezuela pagi esok.

Vinicius, yang terlepas aksi kemenangan Brazil ke atas Peru dan Chile bulan lalu kerana kecederaan leher, akan kembali selepas rakan sepasukannya di Real Madrid, Rodrygo mengalami kecederaan otot ketika menang 4-0 ke atas Osasuna dalam La Liga hujung minggu lalu.

Rakan senegaranya Eder Militao pula akan menjalani pembedahan susulan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialaminya pada perlawanan sama.

“Saya fikir kami berdepan situasi agak rumit akhir-akhir ini. Malangnya, kecederaan selepas kecederaan… kini dengan Militao,” kata Dorival pada sidang akhbar semalam.

Dna akan dinilai terlebih dahulu jika mereka cukup cergas untuk berdepan Uruguay minggu depan sesudah terlepas sesi latihan kerana alasan perubatan.

Pemain Real Madrid mengerumuni bintang Brazil, Rodrygo yang mengalami kecederaan ketika menentang Osasuna pada aksi La Liga di Madrid hujung minggu lalu. – Foto AFP
Pemain Real Madrid mengerumuni bintang Brazil, Rodrygo yang mengalami kecederaan ketika menentang Osasuna pada aksi La Liga di Madrid hujung minggu lalu. – Foto AFP

“Penilaian lebih terperinci akan dilakukan selepas perlawanan menentang Venezuela jadi kami boleh membuat perubahan yang diperlukan. Buat masa ini, kami akan cuba pulih daripada corak kecederaan yang perlu ditangani,” katanya.

Penjaring gol terbanyak Brazil, Neymar kembali ke kelabnya Al-Hilal bulan lalu selepas setahun berehat kerana kecederaan lutut yang teruk.

Bagaimanapun, dia diketepikan sekali lagi selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menang 3-0 ke atas kelab Iran, Esteghlal pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit.

Dorival berkata, pasukannya akan cuba meneruskan momentum baik ketika ini selepas dua kemenangan terakhir menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat kelayakan zon Amerika Selatan dengan 16 mata daripada 10 perlawanan.

“Jika kami boleh mengulangi apa yang kami lakukan dalam dua perlawanan terakhir… kami akan meraih momentum. Semuanya belum berakhir. Kami mempamerkan peningkatan, sekalipun ia bukannya apa yang kami mahukan.”

Brazil bertandang ke Venezuela pagi esok sebelum melayan kunjungan pasukan tangga ketiga Uruguay lima hari kemudian. – REUTERS