Dua kakitangan SK Limau Purut terkorban dalam kemalangan

KUANTAN – Seorang pembantu operasi dan seorang pembantu tadbir Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut meninggal dunia dalam nahas di kilometer (KM) 15 Jalan Lipis-Jerantut dekat Kampung Jeram Bungor dekat Lipis hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dua wanita berkenaan, Nurshida Md Najib,28 dan Nurulfarhana Yahaya, 31 disahkan maut di lokasi nahas selepas kereta Proton Saga yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori jenis Mitsubishi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari SK Limau Purut menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah Lipis bagi tujuan kerja.

“Siasatan lanjut pihak polis mendapati lori yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan ke Kampung Kemuncong, Mela di sini bagi tujuan mengambil tayar.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut telah bertembung secara bertentangan menyebabkan kedua mangsa meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Manakala pemandu lori berusia 31 tahun cedera pada rusuk kiri dan kelindannya iaitu lelaki berusia 33 tahun dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

Kes masih dalam siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis meminta kerjasama mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di talian 093121999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

Source :