Lima remaja didakwa di mahkamah Rabu ini ugut Zara Qairina melalui komunikasi

KUALA LUMPUR – Lima remaja perempuan akan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah Rabu ini atas pertuduhan mengugut melalui komunikasi berkaitan kes buli Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, semuanya yang berusia di bawah 18 tahun, akan dibawa ke mahkamah lusa, bagi menghadapi pertuduhan.

“Pertuduhan akan dikenakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (pindaan 2025) iaitu berkaitan ugutan melalui komunikasi,” ujar beliau kepada pihak media, hari ini.

Ia berkaitan kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang menghina atau mencela, dianggap oleh seseorang yang berkemungkinan mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek berkaitan kes buli Zara Qairina selepas meneliti kertas siasatan yang dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada jabatan itu.

“Pendakwaan dibuat berdasarkan keterangan yang ada. Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli, tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan,” ujar Mohd. Dusuki dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, AGC turut menegaskan pendakwaan di mahkamah tidak menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh pihak PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina.

Hari ini, Mahkamah Koroner menetapkan pendengaran inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina bermula pada 3 September depan.

Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.

Tarikh itu ditetapkan pada prosiding sebutan inkues yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohd. Fairus Johari dari AGC Putrajaya selaku pegawai pengendali. – MalaysiaGazette