GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan ke atas beberapa kawasan di Gaza yang berada di luar kawalan ketenteraannya, walaupun perjanjian gencatan senjata yang dimediasi Amerika Syarikat (AS) pada Oktober lalu.
Berikutan serangan itu, sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin maut semalam dalam serangan berasingan di Khan Younis, menurut sumber perubatan yang dipetik Al Jazeera.
Mangsa termasuk seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, nelayan dan seorang lelaki yang ditembak mati di timur Khan Younis.
Di bahagian tengah wilayah terkepung itu, tembakan Israel turut mencederakan beberapa penduduk di timur kem pelarian Bureij.
Di utara wilayah Gaza, tentera Israel terus merobohkan rumah dan infrastruktur awam di kawasan Tuffah yang hampir musnah sepenuhnya.
Tentera Israel mengesahkan mereka memusnahkan lebih banyak infrastruktur di utara Gaza, namun mendakwa sasaran mereka adalah infrastruktur pengganas di atas dan bawah tanah, termasuk terowong di Beit Lahiya.
Dron Israel juga melepaskan letupan ke atas beberapa rumah di timur Gaza iaitu kawasan perumahan Shujayea dan Zeitoun yang mengalami serangan hebat sepanjang lebih dua tahun perang genosid Israel.
Menurut angka terkini daripada Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 71,386 rakyat Palestin terbunuh manakala 171,264 lagi cedera sejak perang bermula pada Oktober 2023.
Sekurang-kurangnya 420 orang maut sejak gencatan senjata ditandatangani kurang daripada tiga bulan lalu.
Tentera Israel terus menghalang sebahagian besar bantuan kemanusiaan antarabangsa yang terkumpul di sempadan Gaza, sambil menegaskan tiada kekurangan bantuan walaupun terdapat laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak lain yang bekerja di lapangan.
Israel juga mengambil langkah untuk melarang beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa terkemuka beroperasi di Gaza, termasuk Doctors Without Borders (MSF) dan Majlis Pelarian Norway.

