Arif Aiman tak akan kembali dalam masa terdekat – Munoz

KUALA LUMPUR: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas merindui kelibat pemain sayapnya, Arif Aiman Hanapi yang terpaksa berehat panjang susulan kecederaan hamstring.

Pengendalinya, Xisco Munoz mengakui beliau sedih dengan situasi itu kerana skuad Harimau Selatan kehilangan pemain terbaik dalam pasukan itu.

Namun Munoz percaya pemain sayap sensasi itu mampu bangkit dengan lebih kuat dan ketika ini dia hanya perlu memikirkan mengenai tempoh pemulihan terlebih dahulu.

“Dia tidak akan kembali dalam masa terdekat tetapi kita perlu bertenang. Lebih penting untuk dia menjalani proses pemulihan dan memerlukan masa untuk meningkatkan keadaannya.

“Dia adalah pemain muda terbaik di Asia dan sudah pasti sebagai jurulatih, ia satu keadaan yang teruk apabila anda kehilangan pemain seperti ini.

“Ini adalah realiti kerana dia adalah yang terbaik dengan karakternya dan idea JDT. Saya tahu dia sedang bekerja keras dan sudah tentu akan bangkit dengan lebih kuat.

“Ia satu detik yang indah apabila Arif sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan dan tiga mata pada malam ini (malam tadi) turut didedikasikan untuknya yang menonton perlawanan di rumah,” kata Munoz.

Terdahulu, JDT meneruskan kemenangan rutin ke atas Selangor FC (SFC) selepas menumbangkan lawan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ini adalah kemenangan ke-13 berturut-turut buat skuad Harimau Selatan dalam liga sekali gus mereka terus mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan 39 mata.