Trump tekankan AS perlukan Greenland

COPENHAGEN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan Greenland sepatutnya menjadi sebahagian daripada AS, walaupun Perdana Menteri Denmark menggesa supaya Washington berhenti mengancam wilayah itu.

“Kami perlukan Greenland dari segi keselamatan negara dan Denmark tidak akan mampu mengendalikannya,” katanya.

Pada hujung minggu lalu, Katie Miller, isteri kepada penasihat paling berpengaruh Trump, menyiarkan gambar bendera Greenland dengan warna bendera AS, dengan kapsyen ‘SEGERA’.

Ditambah campur tangan ketenteraan Washington di Venezuela, ia turut menimbulkan kebimbangan baharu terhadap Greenland, yang berulang kali diisytiharkan Trump sebagai kawasan yang ingin ditakluki kerana kedudukannya yang strategik di Artik.

Denmark dan Kesatuan Eropah (EU) bertindak balas dengan rasa marah terhadap agenda Greenland Trump.

Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, dalam satu kenyataan menegaskan, sesuatu yang tidak masuk akal untuk AS mengambil alih Greenland.

Beliau menggesa Washington menghentikan tindakan mengancam sekutu sejarahnya.

Dalam masa yang sama, pemimpin Eropah juga terkejut dengan tindakan Trump menghantar tenteranya menyerang Caracas dan menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang kini ditahan di New York.

Trump berkata, AS kini akan mentadbir Venezuela tanpa had dan memanfaatkan rizab minyaknya yang besar.

“Greenland yang kaya dengan mineral kritikal penting untuk industri teknologi, diperlukan bagi keselamatan negara AS,” katanya.

Ditanya dalam temu bual telefon bersama The Atlantic mengenai implikasi operasi ketenteraan di Venezuela terhadap Greenland, Trump berkata, ia terpulang kepada pihak lain untuk menentukannya.

“Mereka perlu menilainya sendiri. Saya benar-benar tidak tahu.

“Tetapi kami memang perlukan Greenland, sudah pasti. Kami perlukan ia untuk pertahanan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, menyifatkan siaran bendera oleh Miller sebagai tidak menghormati.

“Hubungan antara negara dan rakyat dibina atas asas saling menghormati dan undang-undang antarabangsa bukan melalui isyarat simbolik yang mengabaikan status dan hak kami.”Tidak ada sebab untuk panik atau bimbang. Negara kami tidak untuk dijual, dan masa depan kami tidak ditentukan oleh siaran di media sosial,” katanya.