Laut Utara paling panas dalam rekod pada 2025

BERLIN: Laut Utara mencatatkan suhu tahunan paling panas dalam rekod pada 2025, menurut agensi maritim dan hidrografi persekutuan Jerman (BSH) pada Rabu, lapor Xinhua.

“Pada 2025, Laut Utara mencapai suhu purata 11.6 darjah Celsius, nilai tertinggi dalam siri data BSH sejak 1969. Ia adalah 0.9 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata jangka panjang 1997–2021.

“Semua bulan mencatatkan suhu jauh melebihi purata, dengan Jun dan Disember mencipta rekod,” kata Tim Kruschke, ketua pasukan iklim BSH, dalam satu kenyataan.

Laut Baltik juga mencatatkan suhu yang luar biasa tinggi pada 2025, menurut BSH.

Suhu purata permukaan tahunan mencecah 9.7 darjah Celsius, meningkat 1.1 darjah Celsius berbanding purata jangka panjang 1997-2021, menjadikan 2025 sebagai tahun kedua paling panas bagi Laut Baltik dalam siri data agensi itu sejak 1990.

“Walaupun dunia menghentikan pelepasan gas rumah hijau serta-merta, paras laut berkemungkinan akan terus meningkat selama berabad-abad.

“Justeru, lebih banyak langkah perlindungan iklim bagi membantu melindungi kawasan pantai dan komuniti setempat perlu dilakukan,” gesa Presiden BSH, Helge Heegewaldt.