LONDON: Gabriel Martinelli memohon maaf kepada Conor Bradley selepas menolak pemain pertahanan Liverpool itu yang mengalami kecederaan ketika seri 0-0 aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates, awal pagi tadi.
Bradley, 22, diusung keluar padang selepas mengalami kecederaan lutut, sekali gus mencetuskan kemarahan pemain Liverpool.
Martinelli hanya dilayangkan kad kuning dan tidak dibuang padang.
Bekas kapten Manchester United, Roy Keane mengecam tindakan Martinelli sebagai “memalukan”, manakala pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempertahankan pemain itu menyifatkan dia sebagai “orang yang hebat dan baik hati.”
Sebagai reaksi terhadap kecaman itu, Martinelli memuat naik kenyataan di Instagram: “Saya dan Conor sudah bertukar mesej dan saya sudah pun memohon maaf kepadanya.
“Dalam situasi perlawanan ketika itu, saya benar-benar tidak menyedari dia mengalami kecederaan serius.
“Saya ingin menyatakan saya amat kesal dengan tindakan saya.
“Sekali lagi, saya mendoakan yang terbaik buat Conor supaya dia segera pulih.”
Keputusan seri itu tetap membolehkan Arsenal mengekalkan kelebihan enam mata di puncak liga berbanding Manchester City. – AFP

