Netanyahu bertemu diplomat dijangka anggotai Lembaga Damai Gaza

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berjumpa dengan bekas utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Asia Barat, Nickolay Mladenov, semalam.

Mladenov adalah antara anggota dijangka mewakili Lembaga Damai yang diusulkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk Gaza.

Diplomat Bulgaria itu pernah berkhidmat sebagai utusan PBB bagi proses damai Asia Barat dari awal 2015 hingga akhir 2020.

Laporan media menyatakan Mladenov dijangka bertugas sebagai wakil lapangan di Gaza bagi Lembaga Damai.

Lembaga Damai adalah sebuah badan peralihan untuk wilayah Palestin yang musnah akibat perang dan secara teorinya akan dipengerusikan oleh Trump.

Dalam pertemuan itu, Netanyahu menegaskan dan menjelaskan bahawa Hamas mesti melucutkan senjata dan Semenanjung Gaza perlu ‘bebas tentera’ selaras dengan pelan 20 perkara Presiden Trump, menurut kenyataan pejabat perdana menteri.

Seorang kanak-kanak perempuan Palestin mengintai dari sebuah bangunan yang rosak akibat peperangan di Jabalia, utara Semenanjung Gaza. – Foto REUTERS
Seorang kanak-kanak perempuan Palestin mengintai dari sebuah bangunan yang rosak akibat peperangan di Jabalia, utara Semenanjung Gaza. – Foto REUTERS

Kenyataan itu menambah bahawa Mladenov dijadualkan untuk berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Majlis Keamanan di Semenanjung Gaza. Pertemuan itu turut dihadiri Presiden Israel, Isaac Herzog.

Di bawah pelan Trump bagi Gaza, wilayah itu akan ditadbir oleh sebuah jawatankuasa Palestin sementara yang bersifat teknokratik dan tidak berpolitik, di bawah pemantauan serta penyeliaan Lembaga Damai.

Portal berita AS Axios melaporkan Trump dijangka mengumumkan penubuhan lembaga itu minggu depan sebagai sebahagian daripada fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada Oktober lalu.

Laporan itu menambah bahawa lembaga berkenaan akan dianggotai kira-kira 15 pemimpin dunia.

“Antara negara yang dijangka menyertai lembaga itu ialah United Kingdom (UK), Jerman, Perancis, Itali, Arab Saudi, Qatar, Mesir dan Turkiye,” lapor Axios.

Sejak 10 Oktober lalu, gencatan senjata di Semenanjung Gaza menghentikan sebahagian besar pertempuran antara tentera Israel dan Hamas.

Gambaran keseluruhan khemah penempatan yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan rumah mereka akibat peperangan, di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, di Bandar Gaza. – Foto REUTERS
Gambaran keseluruhan khemah penempatan yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan rumah mereka akibat peperangan, di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, di Bandar Gaza. – Foto REUTERS

Bagaimanapun, beberapa pegawai Rumah Putih bimbang kedua-dua pihak melengah-lengahkan pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata.

Di bawah fasa kedua itu, Israel sepatutnya berundur secara berperingkat daripada kedudukan tenteranya di Gaza, manakala Hamas pula dikehendaki meletakkan senjata.

Sebuah Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) juga dijadualkan untuk dikerahkan.

Hamas sudah menyatakan kesediaan memudahkan pemindahan tanggungjawab pentadbiran di Semenanjung Gaza kepada sebuah jawatankuasa bebas itu.

Kumpulan itu juga menegaskan ia tidak berhasrat untuk terbabit dalam sebarang aturan tadbir urus masa depan di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata kumpulan itu sedang menunggu pembentukan jawatankuasa bebas untuk menyelia pentadbiran Gaza merangkumi pelbagai sektor, sambil menyatakan yang cadangan itu menerima sokongan Hamas serta beberapa puak Palestin lain.

Beliau berkata pergerakan itu akan memudahkan proses penyerahan dan menyokong kerja jawatankuasa berkenaan, sambil menegaskan yang Hamas sudah lama memutuskan untuk berada di luar sebarang rangka kerja pentadbiran bagi mengurus wilayah itu.

Bagaimanapun, Israel dan Hamas saling menuduh berlakunya pelanggaran gencatan senjata secara kerap, sekali gus menggugat keamanan rapuh yang dinikmati sekarang. – AGENSI