TEHRAN: Iran memberi amaran pasukannya akan bertindak balas dengan serta-merta lagi tegas terhadap sebarang operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di negaranya.
Penegasan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, itu dibuat sebagai maklum balas terhadap kenyataan Presiden AS, Donald Trump, yang menyifatkan tempoh untuk mengelak perjanjian program nuklear Tehran semakin suntuk.
Beliau ketika memberi amaran itu turut menggunakan bahasa mirip kenyataan Trump untuk menggambarkan kemungkinan persetujuan bagi meredakan ketegangan melalui perjanjian nuklear baharu.
Araghchi, sebelum kenyataan terkini Trump berkata, ‘diplomasi dibuat melalui ancaman ketenteraan tidak akan berkesan atau berguna’, selain perubahan nada beliau dikatakan isyarat ada ruang untuk rundingan.
Bagaimanapun, penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, Ali Shamkani, menerusi kenyataan secara tegas memberi amaran mengenai konflik dan serangan terhadap sekutu AS iaitu Israel.
“Serangan terhad adalah ilusi. Sebarang tindakan ketenteraan AS, dari mana-mana sumber dan pada apa-apa tahap sekali pun, akan dianggap sebagai permulaan perang.
“Tindak balas akan dibuat serta-merta, menyeluruh dan pada tahap belum pernah berlaku sebelum ini, dengan menyasarkan pusat Tel Aviv dan semua pihak yang menyokong penceroboh,” ciapnya di platform X.
Terdahulu, Trump memberi amaran ‘armada besar’ membabitkan kapal tentera laut AS sedang menuju perairan berhampiran Iran dan bersedia ‘melaksanakan misi dengan pantas dan ganas, jika perlu’.
Susulan ancaman Trump, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata kepemimpinan Iran berada pada tahap paling lemah.
Canselor Jerman, Friedrich Merz meramalkan republik Islam itu semakin hampir kepada kehancuran susulan tindakan keras yang mengorbankan penunjuk perasaan antikerajaan, bulan ini.
Sementara itu, sekutu Jerman dan Perancis secara berasingan menyertai Berlin bagi menyokong usaha Kesatuan Eropah (EU) mengisytiharkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai ‘pertubuhan pengganas’.
IRGC diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kanada dan AS.
Protes antikerajaan meletus pada akhir Disember 2025 dan mencapai kemuncaknya pada 8 dan 9 Januari lalu, dikatakan mengorbankan lebih 6,200 mangsa seperti dilaporkan pertubuhan hak asasi manusia.
Agensi Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di AS pula memaklumkan ia telah mengesahkan seramai 6,221 orang terkorban, termasuk 5,856 penunjuk perasaan, 100 kanak-kanak bawah umur, 214 anggota pasukan keselamatan dan 49 orang awam.
Bagaimanapun, kumpulan itu berkata siasatan masih dijalankan terhadap 17,091 lagi kemungkinan kematian. Sekurang-kurangnya 42,324 orang turut ditahan, menurut kenyataan agensi berkenaan. – AFP

