KUALA TERENGGANU: Selepas sah bersama Terengganu FC (TFC), Gervane Kastaneer akui dia bagaikan tidak sabar untuk ‘membuka akaun’ gol pertamanya bersama pasukan baharunya itu.
Penyerang skuad Piala Dunia Curacao yang memakai jersi bernombor 9 menegaskan, dia juga mengidam untuk muncul sebagai ‘mesin gol’ baharu TFC biarpun menyertai skuad itu pada pertengahan liga.
Bagaimanapun pemain kelahiran Rotterdam, Belanda itu sedar Liga Malaysia (Liga M) bukan calang-calang terutama dengan kehadiran ramai pemain import berkualiti.
Bekas penyerang kelab Persis Solo dan Persib Bandung dalam Liga Indonesia yang lebih mesra dipanggil ‘Kasta’ itu dijangka bakal diturunkan buat kali pertama berdepan Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Ahad ini.
“Sejujurnya mana-mana pemain sudah pasti tidak sabar membuat penampilan pertama bersama pasukan baharu, begitu juga dengan saya yang baharu tiga hari berada di bumi Terengganu.
“Tapi jika diturunkan jurulatih, saya tekad untuk memperagakan aksi yang terbaik dan sudah pasti mahu memburu jaringan pertama bersama TFC,” ujar Kastaneer selepas latihan di Pusat Latihan TFC, petang semalam.
Ketika ditanya mengapa memilih TFC untuk meneruskan kariernya, pemain berusia 29 tahun itu berkata, dia terpikat untuk menyarung jersi kelab ini selepas melihat reputasi pasukan ini.
“Saya meletakkan sasaran peribadi untuk meningkatkan prestasi dan kecergasan bagi memastikan tempat saya dalam skuad kebangsaan Curacao ke Piala Dunia 2026 tidak terjejas,” ujarnya.

