MOSCOW: Pasukan tentera Russia dilaporkan kehilangan 9,000 lebih ramai anggota di medan perang Ukraine berbanding jumlah yang mampu diganti pada Januari lalu, menurut penilaian pegawai Barat.
Data berkenaan memberi isyarat positif terhadap rancangan Ukraine untuk melancarkan serangan lebih besar di barisan hadapan.
Menurut pegawai yang enggan dikenali, pasukan Russia gagal mencapai sebarang kemajuan ketara di darat sepanjang Januari walaupun terpaksa menanggung kehilangan nyawa yang besar.
Penilaian itu, yang tidak dapat disahkan secara bebas, dilihat mampu memperkukuh matlamat Kyiv untuk meningkatkan kos peperangan yang perlu ditanggung oleh Moscow.
Laporan Januari menyatakan jumlah tentera Russia yang terbunuh melonjak sehingga 35,000 orang pada Disember lalu, angka yang hampir dua kali ganda berbanding purata bulanan yang dikira oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2025.
Kementerian Pertahanan di Moscow bagaimanapun tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan komen melalui e-mel.
Russia hampir tidak pernah mendedahkan data rasmi mengenai jumlah korban mereka dalam peperangan dengan Ukraine.
Menteri Pertahanan Ukraine, Mykhailo Fedorov, sebelum ini menggariskan strategi untuk meningkatkan kerugian Russia kepada 50,000 anggota sebulan menjelang musim panas ini.
Kyiv menyasarkan keadaan itu akan menyukarkan Presiden Russia, Vladimir Putin, untuk menggantikan tentera tanpa melakukan sebarang bentuk kerahan tenaga.
Pada Disember, angka korban tentera Russia dilaporkan hampir menyamai jumlah pengambilan anggota baharu setiap bulan.
Namun, defisit yang dihadapi Moscow pada Januari menunjukkan strategi Ukraine mula membuahkan hasil, walaupun masih belum pasti sama ada dinamik itu mampu dikekalkan oleh Kyiv.
Panglima Tertinggi Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskyi, minggu lalu menyatakan keadaan di sepanjang 1,200 kilometer (km) barisan hadapan sukar, dengan tentera Russia melancarkan serangan merentasi garisan sentuhan dari wilayah Donbas di timur hingga ke muara sungai Dnipro di selatan.
Bagaimanapun, kemajuan Russia dilaporkan sangat perlahan.
Data daripada DeepState, sebuah perkhidmatan pemetaan konflik yang bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan Ukraine, menunjukkan penguasaan wilayah oleh Russia kurang daripada satu peratus daripada keluasan tanah Ukraine dalam tempoh tiga tahun lalu.
Jeneral Syrskyi menambah, walaupun Russia dilihat melebihi matlamat pengambilan tentera, jumlah tentera mereka di medan perang kekal stabil pada angka sekitar 712,000 orang sejak enam bulan lalu.
Peningkatan angka korban itu merumitkan naratif yang dibawa oleh Moscow dan kadangkala diulangi oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bahawa kelebihan Russia di darat bermakna kemenangannya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Pada kadar semasa, pegawai Barat menganggarkan tentera Russia memerlukan masa dua tahun lagi untuk menguasai sepenuhnya wilayah Donetsk di timur.
Kremlin sebelum ini menuntut penguasaan penuh ke atas Donetsk dan negara jiran, Luhansk sebagai sebahagian daripada syarat rundingan damai.
Dalam pada itu, Putin dilihat tidak mungkin memilih jalan mobilisasi secara besar-besaran memandangkan pilihan itu sangat tidak popular di Russia.
Beliau cuba mengelak daripada mengulangi tindakan pada September 2022 yang mengerahkan 300,000 tentera simpanan, sehingga mencetuskan penghijrahan ratusan ribu rakyat keluar dari negara itu serta lonjakan rasa tidak puas hati orang awam terhadap peperangan.
Pegawai Barat menyifatkan peningkatan tahap serangan maut Ukraine baru-baru ini adalah hasil kemajuan dalam operasi dron negara berkenaan. – AGENSI

