PARIS: Perancis mengharamkan pameran senjata ofensif Israel pada edisi 2026 pameran pertahanan dan keselamatan antarabangsa Eurosatory, menurut penganjur pada Isnin.
Senjata ofensif ialah sebarang kelengkapan, peranti, atau sistem yang direka khusus untuk menyerang, memusnahkan atau menceroboh.
Presiden COGES Events, Charles Beaudouin berkata, hanya pempamer Israel yang mempersembahkan sistem pertahanan antipeluru berpandu balistik dan antipesawat dibenarkan menyertai pameran itu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh kerajaan Perancis menerusi Majlis Pertahanan negara itu.
“Tiada ruang untuk kekeliruan. Jika seseorang pempamer juga adalah pengeluar roket, mereka tidak akan dibenarkan mempamerkannya.PauseNextMute
“Ini memastikan tiada senjata ofensif dipamerkan,” katanya.
Susulan itu, Kementerian Pertahanan Israel mengecam tindakan berkenaan dan berkata, pihaknya tidak akan dapat menyertai pameran itu atau mewujudkan pavilion kebangsaan.
“Ini adalah keputusan yang memalukan, yang berbau pertimbangan politik dan komersial serta malangnya ia tidak mengejutkan.
“Ia selari dengan corak tingkah laku Perancis yang amat membimbangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” tambah kementerian itu.
Paris berulang kali mengecam serangan Israel ke atas wilayah Lubnan sejak akhir Februari ketika negara itu menyasarkan kumpulan bersenjata Hizbullah yang disokong Iran.
Ahad lalu, Perancis meminta satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan selepas tentera Israel merampas Istana Beaufort di Lubnan.
Tentera Israel turut mengibarkan benderanya di mercu tanda strategik itu.
Difahamkan, Eurosatory akan berlangsung dari 15 hingga 19 Jun di pusat pameran Paris Nord Villepinte yang terletak di utara ibu negara Perancis.

