LONDON: Pengendali England, Thomas Tuchel menegaskan beliau dan barisan pemainnya memiliki keyakinan penuh untuk menjuarai Piala Dunia 2026.
Tuchel berkata perbincangan bersama pemain serta persiapan yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu meyakinkannya bahawa England mampu melangkah jauh dalam kejohanan berkenaan dan berpotensi menamatkan kemarau gelaran dunia sejak tahun 1966.
Katanya, sesi latihan dan mesyuarat yang diadakan bersama skuad di Florida memperlihatkan tahap kualiti yang tinggi, sekali gus meningkatkan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan untuk bersaing hingga ke peringkat akhir.
“Reaksi pemain, termasuk mereka yang tidak dipanggil, menunjukkan hubungan yang kukuh dalam pasukan. Mereka mengambil berat dan menyokong perjuangan skuad ini. Itu membuatkan saya lebih teruja,” kata Tuchel.
Seramai 21 daripada 26 pemain skuad England sudah berkumpul di West Palm Beach bagi menjalani kem latihan selama 10 hari sebagai persediaan menghadapi keadaan cuaca panas serta kelembapan tinggi di Amerika Utara sepanjang kejohanan.PauseNextMute
Persatuan Bola Sepak England (FA) bersama pakar sains sukan sudah merancang persediaan itu lebih setahun lalu, termasuk membina bilik simulasi haba di Barcelona bagi membantu pemain menyesuaikan diri dengan suhu yang dijangka mencecah lebih 30 darjah Celsius serta kelembapan sekitar 75 peratus.
Tuchel mengakui cuaca panas bakal menjadi cabaran besar, namun enggan menjadikannya alasan jika pasukannya gagal mencapai sasaran. Menurutnya, England sudah mempunyai pelan pemulihan dan strategi penyejukan khusus untuk membantu pemain menyesuaikan diri dengan keadaan berkenaan.
“Keadaan cuaca bukan kelebihan buat kami, tetapi kami sudah membuat persediaan rapi. Kami memahami reaksi setiap pemain terhadap haba dan mempunyai pelbagai langkah untuk membantu mereka menyesuaikan diri,” katanya.
Empat pemain Arsenal – Bukayo Saka, Declan Rice, Noni Madueke dan Eberechi Eze diberikan rehat tambahan selepas beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah, manakala penjaga gol Dean Henderson juga dijangka menyertai kem latihan sedikit lewat.
England dijadual menentang New Zealand dalam aksi persahabatan di Tampa pada Sabtu ini sebelum berdepan Costa Rica di Orlando. Mereka kemudian memulakan kempen Kumpulan L Piala Dunia menentang Croatia pada 17 Jun di Arlington, Texas. – AGENSI

