Pelbagai kejutan diramal berlaku pada PRN Johor

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 terus hangat dan tarikh penting yang dinantikan akan terjawab, hari ini.

Penganalisis dan pemerhati politik rancak memperkatakan pelbagai situasi yang menunggu, malah meramalkan beberapa kejutan seiring perkembangan semasa politik tanah air.

Isu hubungan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) terus mencuri tumpuan, selain keakraban UMNO-PAS.

Turut menjadi bualan ialah berakhirnya kerjasama PAS-BERSATU serta status kedudukan terkini Perikatan Nasional (PN).

Selain parti besar BN, PH, PN, kehadiran parti baharu seperti BERSAMA dan Gerakan Reset turut mencuri tumpuan pada pilihan raya kali ini.PauseNextMute

BERSAMA yang dipimpin bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad manakala Gerakan RESET yang diasaskan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah pastinya mahu mencuba nasib pada PRN kali ini.

Kedua-dua parti baharu itu bagaimanapun masih belum mengumumkan jumlah kerusi dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi.

Bagaimanapun BERSAMA sudah menyatakan hasrat untuk bertanding secara solo, manakala Gerakan RESET pula dijangka akan mengumumkan penyertaannya ke dalam sebuah parti politik pada Sabtu ini.

Kedua-dua parti itu dijangka memberi saingan baharu kepada BN dan PH.

Pemerhati berpandangan, kedudukan Barisan Nasional (BN) yang kukuh mentadbir Johor dan prestasi semasanya menerajui negeri akan menjadi kelebihan untuk mengekalkan kedudukan.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, berkata PRN pada kali ini pasti mencabar, sesuai perkembangan politik semasa negara.

“Kemunculan parti baharu bakal memberi kesan dan menjadikan PRN Johor lebih terbuka.

“Bilangan dan peratusan mengundi keluar menunaikan tanggungjawab juga bakal menjadi faktor penting menentukan corak keputusan PRN.

“Kerusi marginal yang dimenangi dengan majoriti kecil pada PRN 2022 diramal menjadi medan persaingan paling sengit kerana banyak parti akan memberi perhatian kepada kawasan berkenaan.

“Dengan pertambahan jumlah parti bertanding, persaingan di kerusi-kerusi ini akan menjadi lebih sengit, selain kehadiran calon Bebas yang boleh menyebabkan berlaku perpecahan undi dan perubahan keputusan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi atas beberapa faktor termasuk sentimen semasa pengundi, isu ekonomi, kestabilan politik dan kecenderungan pengundi atas pagar.

Baginya, pengundi atas pagar mempunyai peranan signifikan dan dipengaruhi isu semasa seperti keadaan ekonomi dan kestabilan politik.

Faktor komposisi kaum dan etnik juga boleh mempengaruhi corak pengundian, terutama di kerusi majoriti kecil.

Berdasarkan keputusan PRN Johor ke-15, sebanyak 14 kerusi DUN dimenangi dengan majoriti kecil dijangka menjadi antara tumpuan.

Kerusi DUN Bukit Batu dimenangi Arthur Chiong Sen Sern (PKR) mencatat majoriti paling tipis dengan 137 undi, diikuti DUN Bukit Pasir dimenangi Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN) dengan majoriti 198 undi.