Operasi laut-darat Sabak Bernam bongkar pergerakan PATI, 107 ditahan

SABAK BERNAM: Kawasan pesisir pantai di Selangor termasuk perairan Sabak Bernam bukan sahaja menjadi laluan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), malah dipercayai turut dijadikan lokasi penempatan warga asing.

Ia terbongkar susulan operasi bersepadu diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen (Imigresen) dan beberapa agensi lain semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan, berkata operasi bersepadu itu membabitkan pelaksanaan gerakan laut dan darat secara serentak oleh pelbagai agensi penguat kuasa negeri.

Katanya, operasi yang bermula sejak semalam hingga awal pagi tadi membabitkan kira-kira 250 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

“Sepanjang operasi dijalankan, 125 individu diperiksa di kawasan perairan Sabak Bernam, pesisir dan jeti di lokasi berkenaan.PlayNextMute

“Daripada jumlah itu, 79 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen serta akta lain yang dikuatkuasakan agensi terbabit.

“Selain itu, turut ditahan 28 warga Indonesia bersama tujuh tekong tempatan dalam operasi sama di perairan Sabak Bernam yang disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Indonesia, Myanmar, Thailand, Bangladesh, India dan Pakistan.

Katanya, kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 60 tahun membabitkan lelaki dan perempuan.

“Semua tahanan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut termasuk penempatan di depot tahanan sementara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zaini berkata, antara kesalahan dikenal pasti termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, menggaji dan melindungi warga asing, tidak memiliki dokumen sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, penyalahgunaan pas lawatan serta kemasukan melalui laluan tidak sah.

Katanya, turut dikesan adalah kesalahan berkaitan bekalan kawalan disyaki diesel, penyalahgunaan dadah, pemilikan dokumen palsu serta kesalahan di bawah Akta Perikanan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang awam dan majikan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti melindungi PATI serta jenayah rentas sempadan, selain menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

“Kerjasama orang awam amat penting dalam memastikan usaha membanteras aktiviti tidak sah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di seluruh negeri,” katanya.