ALOR GAJAH – Tindakan dua murid yang didakwa berulang kali membaling ais ke arahnya dipercayai menjadi punca seorang pelajar sekolah menengah bertindak mengejar mereka sambil memegang pisau pemotong kertas dalam kejadian di sebuah sekolah di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang ketika program penghargaan kehadiran murid sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.
Menurutnya, dua murid berkenaan, masing-masing berusia 13 dan 14 tahun, dipercayai berulang kali membaling ais ke arah suspek yang juga pelajar Tingkatan Satu.
“Hasil siasatan mendapati suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau pemotong kertas daripada bekas pensilnya sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, dua lagi pelajar lelaki yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran.
Keseluruhan kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar.”Bagaimanapun, tindakan pantas seorang guru yang berjaya memujuk suspek melepaskan pisau dan tiada sebarang kecederaan terhadap mana-mana pelajar atau guru manakala ketiga-tiga mangsa kembali semula ke dewan sekolah selepas keadaan terkawal.
“Keluarga suspek turut dipanggil ke sekolah sebelum membawa pelajar terbabit pulang dan siasatan mendapati semua pelajar terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini,” tambahnya.
Tambah Ahmad, suspek juga dilaporkan sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu dan pihak sekolah juga sedia maklum mengenai keadaannya.
“Laporan polis telah dibuat guru sekolah berkenaan di Balai Polis Durian Tunggal malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette

