3 lelaki Rohingya ditahan, kad UNHCR disyaki palsu

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan membuka siasatan berhubung penemuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang disyaki palsu dimiliki tiga lelaki Rohingya termasuk menyiasat kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan sindiket.

Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, kes itu adalah yang pertama membabitkan penemuan kad UNHCR disyaki palsu dikesan pihaknya tahun ini.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber kad berkenaan serta sama ada ia dihasilkan atau dibekalkan oleh sindiket tertentu.

“Tiga lelaki Rohingya itu adalah antara 20 warga asing yang ditahan dalam Op Mega, operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Kota Bharu, Jumaat lalu.

“Daripada jumlah itu, hanya 10 individu direman bagi membantu siasatan. Sebaik siasatan selesai, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut termasuk keputusan sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya,” katanya.

SUMBER : TV3